Bersatu Blackout tak perlu letak calon, kata Ahmad Faizal

Iklan
Ahmad Faizal Azumu

SLIM RIVER - Kumpulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout dinasihatkan supaya tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, negara kini berdepan penularan koronavirus (Covid-19) yang masih belum hilang sepenuhnya dan rakyat tertekan dengan pelbagai masalah kesan pandemik tersebut.

Iklan
Iklan

"Negara kita mengamalkan demokrasi, mereka berhak meletakkan calon tetapi pandangan saya di waktu kita berdepan Covid-19 di mana rakyat kehilangan pekerjaan, perniagaan agak kurang sambutan, saya fikir tak perlu letak calon semata-mata kerana mahu berlawan. Kita nak bertanding untuk mengimarahkan demokrasi demi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Tidak berlaku apa-apa perubahan jika mereka meletakkan calon di PRK DUN Slim. Mungkin sekadar untuk menunjukkan perbalahan sesama kita. Adakah perkara itu menguntungkan? Jika menguntungkan silakan, tetapi jika ia mendatangkan lebih banyak perkara yang tidak baik sebagai sahabat saya syorkan untuk tidak melakukannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Ngaji Hospital Slim River (HSR) di Dewan Seri Muallim HSR, di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya bahawa kumpulannya akan meletakkan calon pada PRK DUN Slim.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberi amaran mana-mana ahli Bersatu yang menjadi calon Bebas pada PRK DUN Slim boleh dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar perlembagaan parti.

Iklan

Malah, menurut Pengerusi Bersatu Perak itu, ahli-ahli parti yang melakukan perkara berbeza dengan pendirian parti akan digugurkan keahlian secara automatik.

PRK DUN Slim diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 25 Ogos hari pengundian awal dan diikuti hari pengundian sebenar pada 29 Ogos.