Mimpi Ake jadi kenyataan

Iklan
Nathan Ake

BINTANG baharu Manchester City, Nathan Ake mula menanam azam tinggi selepas sah menyertai skuad The Citizens bagi mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

"Bagi saya, Manchester City adalah pasukan terbaik di England sepanjang tempoh sedekad lalu. Jadi apabila berada di sini bersama mereka, ia bagaikan satu mimpi bagi saya.

Iklan
Iklan

"Saya kini berada bersama barisan pemain terbaik dunia manakala Pep Guardiola pula adalah seorang pengurus yang disegani di seluruh dunia kerana apa yang dilakukannya selama ini.

"Namun, saya sedar saya perlu bekerja keras untuk berada dalam kesebelasan utama dan itulah perkara pertama yang akan saya lakukan. Saya akan lakukan apa sahaja untuk kejayaan pasukan,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Ake diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu City apabila menandatangani kontrak selama lima tahun dengan nilai 41 juta pound (RM225.64 juta).

Ake berkata, dia mengambil keputusan menyertai City kerana mahu terus beraksi dalam saingan EPL setelah Bournemouth tersingkir ke kempen Liga Kejuaraan Inggeris musim depan.

Iklan

Bagaimanapun, Ake yang turut diburu Chelsea dan Manchester United berkata, dia tidak akan melupakan saat-saat manis ketika beraksi besama Bournemouth.

"Saya telah melalui musim yang hebat di Dean Court dan kerana itu saya kini mampu untuk mara setapak lagi ke hadapan. Kepada penyokong, terima kasih atas segala sokongan yang diberikan selama ini dan kita akan berjumpa lagi selepas ini,” jelasnya.

Sebagai rekod, Ake memulakan kariernya bersama Chelsea pada 2012 sebelum dipinjamkan ke Reading, Watford dan Bournemouth. Dia akhirnya menjadi pemain tetap Bournemouth mulai 2017 dan telah membuat 109 penampilan untuk skuad The Cherries.