Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer enggan memberikan sebarang jaminan serta harapan mengenai masa depan penyerangnya, Jesse Lingard di Old Trafford.
Solskjaer berkata, biarpun mengenali Lingard sejak kecil, dia masih belum dapat memberikan kepastian mengenai masa depan pemain antarabangsa England itu bersama skuad The Red Devils.
"Setiap pemain yang beraksi atau berlatih akan mendapat peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing iaitu untuk membuktikan bahawa anda seorang pemain yang baik.
"Saya mengenali Lingard sejak dia masih kanak-kanak lagi. Saya akui dia seorang pemain yang baik dan memiliki personaliti yang hebat selain tahu apa yang saya mahukan daripadanya.
"Prestasinya juga meningkat dengan penuh keyakinan dan dia bekerja keras dalam tindakan penyudahnya. Sudah tentu saya gembira apabila dia menjaringkan gol,” katanya.
Awal pagi semalam, Lingard membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan satu gol ketika membantu United meraih kemenangan 2-1 ke atas LASK pada aksi kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di Old Trafford.
Lingard menjaringkan gol penyamaan United pada minit ke-57 selepas LASK terlebih dulu mengejutkan The Red Devils menerusi jaringan pembukaan Philipp Wiesinger.
Anthony Martial muncul wira apabila meledak gol kemenangan United pada minit ke-88, sekali gus mengesahkan kemaraan The Red Devils keperingkat suku akhir dengan kemenangan agregat 7-1.
Dalam pada itu, Lingard mengakui agak kecewa apabila Solksjaer mengeluarkannya selepas menyumbat gol penyamaan United pada perlawanan tersebut.
"Saya memang gembira beraksi pada perlawanan ini. Saya mungkin dapat menjaringkan gol lagi jika tidak dikeluarkan tetapi saya perlu akur kerana ia adalah keputusan pengurus pasukan,” jelasnya.