PASIR PUTEH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh terpaksa memerah keringat lebih 20 jam untuk memotong 10 batang pokok yang tumbang dipukul ribut petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, walaupun kepenatan namun mereka tetap menggunakan kudrat dengan melakukan kerja-kerja tersebut sehingga selesai.
Iklan
Iklan
"Operasi membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota itu bermula pada jam 7.40 malam tadi dan tamat sepenuhnya hari ini (jam 5 petang)," katanya kepada Sinar Harian.
Nik Mohd Nor memberitahu, tiga kes melibatkan pokok tumbang dan menghempap bahagian rumah manakala tujuh lagi membabitkan laluan jalan kampung
Menurutnya, difahamkan kejadian itu berlaku selepas kawasan Pasir Puteh dilanda hujan lebat serta angin kencang pada jam 7.15 malam.
Katanya, antara kampung terlibat ialah Padang Pak Amat, Kemal, Nara, Kelubi, Gong Serai, Saring dan Jalan Bypass Alor Pasir.
Nik Mohd Nor memuji komitmen yang ditunjukkan oleh anggota APM Pasir Puteh dan berharap kecemerlangan itu dapat dikekalkan pada masa hadapan.