Demokrasi tidak sempurna

Iklan

BILA merdeka diisytiharkan pada 31 Ogos 1957, Malaysia megah mengibar benderanya. Jeritan merdeka kedengaran di Stadium Merdeka ketika itu.

Raja-raja Melayu dikekalkan dan negara ini ditadbir dengan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Namun kebebasan mutlak ditolak untuk menjaga keharmonian antara kaum yang dipelihara sebaik mungkin. Beberapa peruntukan undang-undang keselamatan diluluskan di Parlimen.

Iklan
Iklan

Pokoknya demokrasi terpimpin menjadi pilihan kita dalam membentuk kerajaan. Penubuhan parti politik dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya. Calon tidak berparti juga dibolehkan.

Setelah 14 PRU berlalu, demokrasi dikatakan subur di negara ini. Kita menolak sistem autokratik apatah lagi sistem pemerintah diktator. Kita merayakan pemilihan wakil rakyat untuk meletakkan wakil rakyat di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.

Iklan

Maka parti politik ditubuh oleh pelbagai pihak. Ada berasaskan ideologi, ada berasaskan kaum. Masing-masing mengutarakan manifesto untuk meyakinkan pengundi.

Parti hanya wadah. Yang menjadi penentu buruk baiknya sebuah parti politik ialah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Iklan

Maka, atas nama demokrasi parti politik ditampilkan untuk dipilih rakyat. Bila menang, rakyat mengisyaratkan wakil rakyat daripada parti itu benar-benar mewakili mereka. Atas nama parti yang bertanding ia dipilih oleh rakyat kerana pengaruh parti diberi perhatian oleh pengundi.

Di sinilah bermula cabaran besar semangat demokrasi diuji. Perjanjian hakikatnya adalah antara wakil rakyat dengan parti yang ia tandingi dan wakil rakyat dengan kawasan pilihan raya di mana ia bertanding. Janjinya ialah dia dipilih rakyat melalui parti dan dengan itu dia berkhidmat kepada rakyat melalui parti. Memang pengaruh calon adalah besar tetapi parti lebih besar sebab calon membawa ideologi parti.

Malangnya apa yang sedang disaksikan sekarang ialah demokrasi semakin sarat dengan penipuan dan pengkhianatan. Pada satu saat menampilkan faham ideologi parti, namun pada saat lain saling tawar-menawar untuk melompat parti.

Bila ditanya bukankah melompat parti itu khianat? Dengan mudah dijawab, ini adalah demokrasi. Semua berhak membuat pilihan dalam sistem demokrasi katanya.

Namun pada akhirnya jika diselami secara mendalam, terserlah niat wakil rakyat yang sebenar. Yang dikejar ialah kedudukan dan laba. Politik dalam sistem demokrasi dianggap pelaburan.

Bagi wakil rakyat yang melompat parti untuk memenuhi bilangan kerusi bertujuan menjatuhkan kerajaan, apakah jawatan yang ditawarkan?

Demokrasi akhirnya menjadi medan menghitung nombor. Majoriti dalam pilihan raya yang diberi rakyat kini menjadi permainan yang dicatur oleh mereka yang punya wang untuk ditawar sama ada jaminan kedudukan dan jawatan.

Di Parlimen, dulu kawan kini lawan. Maka dewan demokrasi tertinggi iaitu Parlimen menjadi medan berdebat untuk memalukan, menjatuhkan dan mengaibkan. Jangan peduli soal adab dan akhlak. Yang penting mempamerkan ‘keberanian’ berucap tanpa batas peraturan mahupun fakta.

Hujah kita, sistem terbaik adalah demokrasi dengan segala kelemahannya. Dalam masyarakat majmuk yang berlandaskan Perlembagaan kita bertahan untuk memastikan negara ini kekal aman, maju dan berkongsi kesejahteraan. Akan tetapi atas nama demokrasi wakil rakyat telah merungkai rukun dan tonggak negara yang kita bina selama ini.

Tahun ini, Malaysia berumur 63 tahun sebagai negara merdeka. Jangan rosakkan proses membina negara bangsa dengan mengkhianati amanah dan mandat rakyat dengan bermain politik jualan murah dan politik lompat-melompat yang memualkan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu