SEKIAN lama menguasai pasaran dunia, perniagaan gitar dari Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berdepan dengan masalah penyusutan jualan. Produk yang terjual sekitar 1.5 juta unit pada setiap tahun di AS itu kini dilaporkan hanya mampu terjual satu juta unit.
Malah, di AS sendiri, jualan gitar dilaporkan merosot sehingga 30 peratus melibatkan jutaan unit pada setiap tahun.
Penyusutan jualan itu terbukti apabila tiga pengeluar gitar utama dunia iaitu Gibson, Fender dan Paul Reed Smith (PRS) mula menunjukkan ketidaksetabilan dalam perniagaan mereka.
Gibson dan Fender dilaporkan berdepan dengan beban hutang yang mana masing-masing menanggung hutang AS$500 juta (RM2 bilion) dan AS$100 juta (RM419 juta) manakala PRS pula dalam diam dilaporkan memberhentikan pekerjanya di ibu pejabat mereka di Maryland, AS.
Kesan kemerosotan jualan itu akhirnya memaksa ketiga-ketiga pengeluar gitar gergasi dunia itu mengeluarkan variasi gitar murah yang tidak sepadan dengan ketokohan nama mereka sebagai pengeluar gitar ulung dunia.
Penganalisis perniagaan muzik di AS berpendapat, kemerosotan jualan gitar ada kaitan dengan masalah pasaran gitar itu sendiri. Mereka berpendapat, terlalu banyak pengeluar sedangkan pasaran sedia ada tidak pernah berkembang sejak puluhan tahun dahulu.
Kekurangan gitar hero yang mampu memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk membeli gitar yang dihasilkan juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan jualan gitar.
"Remaja sekarang lebih cenderung meminati penyanyi pop dan bintang hip hop berbanding pemain gitar,” menurut laporan majalah Rolling Stones berhubung masa depan perniagaan gitar dunia.
Majalah muzik terkenal dunia itu menjelaskan, situasi tersebut menyebabkan remaja hari ini tidak berminat untuk memiliki gitar kerana idola mereka bukanlah seorang pemain gitar seperti Slash, Eric Clapton, Jeff Back dan Jimi Hendrix yang menjadi pujaan orang tua mereka suatu ketika dahulu.
Selain masalah berkenaan, gangguan digital, jenama tiruan dan produk kurang inovasi turut disenaraikan sebagai faktor yang memberi kesan terhadap penjualan gitar di seluruh dunia.