PEMILIK KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan memberi jaminan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akan tetap diberikan ‘minit bermain’ apabila menyarung jersi kelab Belgium tersebut.
Menurutnya, Luqman Hakim tidak akan hanya ‘diperam’ di bangku simpanan semata-mata, namun perlu membuktikan dia layak untuk bermain bersama kelab dari Eropah itu.
"Saya sebagai pemilik kelab (KV Kortrijk) sudah pun bercakap kepada pihak pengurusan pasukan bahawa mereka perlu memberikan peluang bermain kepada Luqman Hakim.
"Saya beritahu mereka supaya melatih Luqman Hakim sebaik-baiknya. Kalau tak boleh bagi (bermain) dalam kesebelasan utama, bagi peluang bermain untuk tempoh 10 hingga 15 minit.
"Bagaimana anda boleh kata tidak boleh, kalau tak diberikan peluang. Saya katakan no (kepada pihak pengurusan pasukan), Luqman Hakim mesti diberi peluang untuk buktikan kemampuannya.
"Kita kena bagi setahun atau dua tahun kepadanya untuk buktikan. Mana tahu dia akan menjaringkan gol dan kemudian sudah tentu dia akan sering terpilih dalam kesebelasan utama.
"Situasi ini sebagai satu pertaruhan dan kita pertaruhkan bahawa dia akan berjaya dan sudah tentu doa seluruh rakyat Malaysia juga diperlukan untuk dia merealisasikan cita-citanya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak antara Luqman Hakim dan KV Kortrijk di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Vincent sekali lagi memaklumkan, pihaknya tidak akan menghalang Luqman Hakim berlatih dan beraksi bersama skuad Bawah 19 (B-19) negara bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober depan.
"Saya sudah bersetuju untuk memberikan kebenaran kepadanya pulang ke Malaysia untuk mengikuti latihan dan kejohanan bersama skuad B-19. Dia hanya akan berada sebulan lebih di sana dan akan kembali semula ke Malaysia. Tiada masalah,” jelasnya.