Lonjak ekonomi Peladang

Iklan
Ronald ketika merasmikan majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Penyerahan Peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang 2020 di Menara LPP, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyalurkan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM62 juta kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selain Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA Sarawak).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dana khas Pertubuhan Peladang yang telah diluluskan adalah sebanyak RM50 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membolehkan setiap Pertubuhan Peladang menerima antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk meneruskan program agromakanan jangka pendek yang dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Sebanyak 224 Pertubuhan Peladang menerima dana khas ini untuk melaksanakan projek jangka pendek, tanaman sayuran/kontan seperti projek tanaman secara fertigasi, konvensional, ternakan ayam kampung, ruminan dan juga ternak air,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Penyerahan Peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang 2020 di Menara LPP di sini semalam.

Iklan

Hadir sama Pengerusi LPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur, tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman, khas buat Pertubuhan Peladang.

Iklan

"Inisiatif ini bertujuan memastikan rantaian nilai bekalan makanan diperkemas agar lebih efisien. Peruntukan sebanyak RM2 juta juga telah diluluskan kepada Pertubuhan Peladang untuk meningkatkan usia guna jentera-jentera pertanian seperti traktor dan jentuai,” katanya.

Ronald meluangkan masa melawat pameran yang diadakan Menara LPP, Kuala Lumpur semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata, susulan kejatuhan pertumbuhan ekonomi disebabkan oleh koronavirus (Covid-19), kerajaan telah meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menurutnya, kesemua inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah bagi membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk peladang, penternak, nelayan serta pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara.

"Saya berharap inisiatif kerajaan ini disambut baik oleh semua ahli peladang, penternak dan nelayan.

"Kelestarian semua projek yang diluluskan ini amat penting agar pendapatan peladang, penternak dan nelayan dapat ditingkatkan manakala pengeluaran agromakanan mampu diteruskan.

"Impak kepada pakej-pakej rangsangan ekonomi perlu kita capai sepertimana dirancang agar akhirnya ekonomi negara berjaya kita pulihkan. Ini bertujuan untuk memperkasa pertubuhan peladang dan ahli-ahlinya,” katanya.

Ronald juga berharap lebih banyak kejayaan peladang, penternak dan nelayan dicapai agar mampu menarik minat golongan muda untuk turut sama menceburi bidang ini.

"Penglibatan golongan muda juga perlu dipertingkatkan agar sektor pertanian ini akan lebih ke hadapan dan mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, teknologi, automasi dan modenisasi sedang rancak diaplikasikan di ladang-ladang yang diusahakan oleh persatuan peladang dan persatuan penternak di negara ini.

"Kita berharap, sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 1 yang sudah berlalu dan Dasar Agromakanan Negara 2 yang sedang diolah akan menumpukan kepada kehendak industri dan pertanian dijadikan sektor moden yang menggunakan aplikasi terkini.

"Kita berharap perubahan ini akan memberikan peluang kepada anak muda berkecimpung dalam bidang agromakanan. Bidang pertanian ini selalunya diusahakan oleh mereka yang berumur 50 tahun. Namun, saya yakin dengan penggunaan teknologi moden akan mendorong anak muda berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

Ronald berkata, kementerian sedang mengolah Dasar Agromakanan Negara 2 dengan melihat kelemahan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 1.

"Kita ingin melihat sektor pertanian dan agromakanan seiring dengan perubahan masa dan teknologi yang bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 yang sedang rancak diaplikasikan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, bagi memperkasakan lagi peranan Pertubuhan Peladang, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 (Pindaan) 2019 berkenaan pemberian kuasa kepada menteri untuk melantik Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diwartakan pada 22 April 2019 dan berkuat kuasa pada 1 Mei 2019 akan dipinda dan dibatalkan.

"Saya berpendapat bahawa kuasa memilih kepimpinan hendaklah dikembalikan kepada ahli peladang sendiri.

"Pindaan ini akan dikuatkuasakan pada tahun pemilihan yang akan datang iaitu pada tahun 2021. Kita mahu mengembalikan kuasa memilih kepimpinan peladang kepada ahli peladang sendiri seperti dahulu,” katanya.