NICOSIA - Polis Cyprus berkata semalam, mereka menyoal siasat seorang rakyat Rusia, Igor Grechushkin iaitu pemilik kapal MV Rhosus yang membawa kargo ammonium nitrat yang dikatakan menjadi punca dua letupan besar di Beirut pada Selasa lalu.
"Pihak berkuasa Lebanon meminta kami mengesan individu itu dan bertanya beberapa soalan berhubung kargo ammonium nitrat dan kita melakukannnya," kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
"Maklum balasnya kemudian dihantar kepada Lubnan," tambahnya.
Bagaimanapun, dia tidak ditahan tetapi disoal berhubung soalan-soalan spesifik berkaitan kargo di dalam kapalnya seperti mana yang diminta melalui Interpool Lebanon.
Pada tahun 2013, kira-kira 2,750 tan ammonium nitrat tiba di Lubnan melalui kapal MV Rhosus yang belayar dari Georgia dan dilaporkan menuju ke Mozambique, kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.
Bagaimanapun, para pegawai Kawalan Negara Pelabuhan Beirut menghalang kapal tersebut daripada belayar kerana ia tidak memenuhi keselamatan maritim, kata firma Baroudi & Associates.
Pihak berkuasa pelabuhan kemudian memindahkan ammonium nitrat tersebut dan menyimpannya di sebuah gudang dengan dindingnya merekah menyebabkan kerja-kerja
pembaikan yang dilakukan pada minggu ini dipercayai menjadi punca dua letupan besar itu.
Dalam kejadian itu, 157 orang terbunuh manakala 5,000 lagi cedera manakala 300,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam kejadian tersebut.
Sementara itu di Beirut, seramai 16 orang kakitangan pelabuhan tersebut iaitu tempat dua letupan berkenaan berlaku telah ditahan, kata pihak pendakwa raya tentera.
Menteri Luar Lebanon, Charbel Wehbe berkata menerusi sebuah radio Perancis bahawa satu jawatankuasa siasatan diberikan masa selama empat hari untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut. - Agensi