TASIK KENYIR-"Biarpun ikan-ikan ini cuma sejenis haiwan, namun cinta dan kasih sayang dicurahkan seperti jaga anak sendiri. Apabila ada ikan sakit, kesakitan itu turut saya rasai," luah Melah Idris, 50.
Menurut petugas di bahagian akuarium di Pusat Penerangan Kenyir ini, komunikasi kasih sayang tercipta sejak dua tahun lalu turut menjadi terapi jiwa baginya kerana tatkala melihat ikan, segala masalah hilang.
"Ketenangan dan keseronokan melihat ikan terutamanya sewaktu bagi makanan tidak dapat diterjemah dengan kata-kata. Apa yang pasti segala kekusutan terlerai, jiwa pun jadi tenang.
"Daripada anak ikan saya bagi makan sampai ikan membesar. Apabila lihat saya pegang bekas menuju ke akuarium, ikan-ikan di dalamnya terus berenang meluru ke arah saya seolah-olah tahu saya penjaganya.
"Waktu makan biasanya tiga kali iaitu pagi, tengahari dan petang. Masa makan ini paling seronok sebabnya lihat ikan berebut makanan hingga ada yang lompat keluar dan jatuh ke lantai.
"Tentunya saya rasa susah hati jika lihat ikan-ikan ini tidak lalu makan. Saban hari bermain ikan, saya telah dapat baca gerak-geri ikan-ikan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Kalau tiada seekor pun boleh tahu
Tambah ibu empat anak dari Kampung Tengkawang ini, kerana kasih sayang mendalam terhadap ikan-ikan tersebut, dia tidak tergamak untuk makan ikan spesies itu sebagai hidangan.
"Ibarat macam anak, kita yang bela...bagi makan...memang sayanglah. Kalau tiada seekor boleh tahu, biasanya ikan-ikan ini diambil untuk pameran di luar yang sertai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah.
"Apabila lambat hantar semula ke sini, saya tanya individu berkaitan sebabnya. Ikan mati pun saya boleh menangis kerana rasa kehilangan maklumlah hari-hari dari 7.30 pagi hingga 5 petang, saya di akuarium ini.
"Petugas di sini empat orang termasuk saya dan selain bagi makan ikan, turut bagi penerangan kepada pengunjung yang datang. Di sini pelawat boleh lihat pelbagai spesies ikan ikan air tawar terdapat di Tasik Kenyir.
"Antaranya lampam dan kelah. Dulu sebelum kerja sini, tidak semua spesies ikan saya tahu tetapi sekarang ini pengetahuan kian bertambah, ragam ikan pun saya telah dapat baca," ujarnya.
Beri penerangan perihal ikan
Menyentuh mengenai gelagat pengunjung, suri rumah ini memaklumkan ada dalam kalangan individu yang bertindak nakal dengan cuba memberi daun kepada ikan sedangkan perbuatan itu adalah dilarang.
Kata Melah, ikan dalam akuarium di Pusat Penerangan Kenyir itu cuma untuk pameran sahaja dan bukan untuk urus niaga namun ada dalam kalangan pengunjung merayu-rayu untuk membelinya.
"Masuk ke sini percuma, biasanya cuti sekolah bilangan pengunjung bertambah. Bergambar dibolehkan di sini, jika mereka tanya, saya akan bagitahulah apa-apa yang diketahui mengenai perihal ikan ini," ujarnya yang punyai anak berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun ini.