'Dr Mahathir sekali lagi pecah belahkan Melayu'

Iklan
Isham Jalil

SHAH ALAM - Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menubuhkan parti baharu sekali lagi dilihat akan memecahbelahkan orang Melayu, kata bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil.

Dakwa beliau, orang Melayu akan menjadi semakin lemah akibat tindakan bekas Perdana Menteri itu.

Iklan
Iklan

"Lebih dua puluh tahun dahulu, Dr Mahathir telah memecahbelahkan orang-orang Melayu dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat pergaduhan Dr Mahathir dengan beliau.

"Lima tahun lalu juga, Dr Mahathir telah memecahbelahkan orang-orang Melayu melalui penubuhan Bersatu untuk menjatuhkan Najib kerana tidak membantu Mukhriz dalam pemilihan UMNO serta tidak membantu kroni-kroni beliau untuk menyambung kontrak dan konsesi kerajaan yang diperoleh selama berpuluh tahun sebelum itu.

Iklan

"Ini tidak akan berhenti sehinggalah Mukhriz menjadi Perdana Menteri dan kepentingan peribadi serta kroni-kroninya dipenuhi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Ahli Parlimen Langkawi itu layak dilabelkan sebagai 'Bapa Pemecahbelah Orang-orang Melayu'.

Iklan

"Parti baharu Dr Mahathir ini dikhabarkan yang terdiri daripada serpihan ahli-ahli Bersatu dalam kalangan orang-orang Melayu.

"Sebab jika ada banyak parti Melayu, orang-orang Melayu berkemungkinan besar akan lebih bertelagah dan berpecah belah," katanya.

Isham yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, musuh Melayu dan DAP kini paling beruntung dan bersorak dengan tindakan Dr Mahathir ini.

"Jika masih ada lagi orang-orang Melayu yang masih tidak sedar dan masih mengikut Dr Mahathir, saya tidak tahu nak kata apa.

"Kepada Dr Mahathir dan pengikut-pengikutnya ini, daripada mereka menjadi musuh dalam selimut untuk orang-orang Melayu, mungkin lebih baik mereka terus masuk DAP secara terang-terangan seperti segelintir Melayu DAP yang lain.

"Dengan ini mereka tidak perlu menyorok atau berselindung lagi tentang perjuangan sebenar mereka," katanya.