KUALA LUMPUR - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melancarkan kempen ‘Shop Malaysia Online’ untuk memacu pemulihan ekonomi negara pasca-koronavirus (Covid-19) menerusi usaha mendorong serta menggalakan rakyat berbelanja secara dalam talian.
Kempen bermula 1 Ogos hingga akhir September 2020 itu merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menyaksikan kerjasama kerajaan dengan sektor swasta.
"Menerusi kempen ini, pengguna akan diberikan kod promosi dan pelbagai baucar diskaun di platform e-dagang supaya mereka meningkatkan perbelanjaan terhadap produk tempatan.
"Baucar yang diberikan membolehkan pengguna menebusnya untuk menikmati potongan harga dan kos penghantaran,” menurut MDEC dalam kenyataan hari ini.
MDEC berkata, sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan ‘Shop Malaysia Online’ dengan MDEC sebagai agensi bertanggungjawab menjayakan inisiatif ini.
Kesemua rakan e-dagang yang mengambil bahagian pula secara kolektif akan memperuntukkan RM70 juta lagi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM140 juta bagi kempen ini, menurutnya.
MDEC berkata, melalui inisiatif ini, kerajaan dan MDEC akan berganding bahu dengan 22 rakan e-dagang mengetengahkan pelbagai tawaran selama dua bulan.
Rakan e-dagang tersebut ialah Boost, Carousell, ConfirmPlusChop, DeliverEat, Elokal, eRomman, FashionValet, Fave, foodpanda, Grab dan JOCOM.
Selain itu, Kedai Matdespatch, Lazada, Lokein, Maybank, MyGroser, OURSHOP, PG Mall, Shopee, Touch ‘n Go eWallet, Youbeli dan Zalora turut menyertai inisiatif ini.
"Pada masa sama, inisiatif ini merupakan komitmen kerajaan dalam membantu perniagaan tempatan ketika berdepan situasi ekonomi semasa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata tingkah laku pengguna berubah dengan pantas sejak penularan wabak Covid-19 apabila berlaku peningkatan transaksi jualan dalam talian.
"Ketika negara bergerak pantas pada fasa pemulihan, antara usaha penting ialah menyokong perniagaan tempatan. Penglibatan pengguna dan perniagaan tempatan sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, menerusi bantuan yang ditawarkan untuk perniagaan tempatan melakukan lonjakan digital dan berkembang, MDEC berharap ia dapat meningkatkan keyakinan rakyat untuk terlibat dalam ekonomi digital dan mengatasi cabaran yang wujud akibat pandemik berkenaan.
"Pengguna yang memilih untuk membeli-belah semasa kempen ‘Shop Online Malaysia’ sebenarnya telah memainkan peranan dalam proses pemulihan ekonomi apabila memberikan sokongan kepada perniagaan tempatan sekali gus membantu keseluruhan sistem terlibat pada masa mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata, MDEC dan rakan e-dagang pula bertanggungjawab untuk memberi sokongan termasuk memudahkan peralihan perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro kepada platform e-dagang di samping membantu mereka bersaing dalam persekitaran perniagaan baharu.
MDEC berkata dengan inisiatif e-dagang Penjana dan program lain yang sedang berjalan, pihaknya berharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan e-dagang dalam kalangan pengguna dan perniagaan Malaysia.
Ia juga mahu terus mendorong masyarakat melakukan lonjakan digital dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan seterusnya mencapai hasrat kemakmuran bersama.
Pengguna dan perniagaan tempatan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Shop Malaysia Online’ boleh melayari www.go-ecommerce.my/Penjana. - Bernama