Pengusaha pawagam perlukan bantuan kewangan

Iklan
Kedudukan aliran tunai kebanyakan pengusaha terjejas teruk walaupun pawagam dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Julai lepas. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta agar turut menimbang bantuan kewangan kepada pengusaha pawagam di negara ini yang mengalami masalah aliran tunai sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut Ketua Pegawai Operasi MCAT Box Office Sdn Bhd (MBO Cinemas), Cheah Chun Wai, beliau difahamkan industri itu mengalami kerugian kira-kira RM2 juta sehari ketika tiga bulan pertama penularan wabak dikesan iaitu kemerosotan jualan kira-kira 55 peratus.

Iklan
Iklan

"Tiga bulan berikutnya kosong tiada perniagaan (ketika pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat), jadi kami memang berharap kerajaan dapat lihat masalah ini dan bantu kami untuk pulih kembali," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas hadir sebagai tetamu Program Jendela Fikir bertajuk ‘Operasi Pawagam Pasca-Covid-19’ yang dikeudarakan oleh Bernama Radio pagi tadi.

Iklan

Mengulas lanjut, Chun Wai berkata, susulan itu, kedudukan aliran tunai kebanyakan pengusaha terjejas teruk dan sekalipun pawagam dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Julai lepas, jualan tiket masih belum memberangsangkan.

Bagi MBO Cinemas, jualan pada Julai hanya sekitar lima hingga 10 peratus namun meningkat sedikit pada awal bulan ini antara 15 dan 20 peratus, menunjukkan orang ramai mula kembali yakin untuk meluangkan masa menonton wayang di pawagam, katanya sambil menegaskan MBO Cinemas mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Iklan

SOP ini termasuk penjarakan kerusi dalam panggung, menyediakan cecair pembasmi kuman, semakan suhu badan, satu meter penjarakan fizikal ketika berbaris, dan menyarankan pengungjung memakai pelitup muka.

Chun Wai berkata, pada masa ini hanya 23 daripada 27 pawagam MBO Cinemas yang beroperasi manakala empat pawagam di empat lokasi iaitu di MBO Cinemas Harbour Place, MBO Cinemas U Mall, MBO Cinemas Space U8 Mall dan MBO Cinemas Melaka Mall masih ditutup.

"Untuk sementara waktu MBO Cinemas memberikan diskaun untuk jualan konsesi (makanan dan minuman), tayangan percuma dan diskaun untuk filem-filem lama, kami berharap keadaan kembali stabil untuk meneruskan perniagaan dan filem-filem blockbuster dapat ditayangkan semula kerana masa ini banyak tayangannya ditunda ke tahun depan.

"Satu berita baik ialah filem aksi Walt Disney Mulan akan ditayangkan pada awal September ini, datanglah ke pawagam kami untuk menyaksikannya dan kami pun ada menjual merchandise untuk filem ini," katanya, menambah ketika ini MBO Cinemas juga mempunyai beberapa filem baharu seperti 'Train To Busan 2', 'Black Water Abyss', 'Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna' dan 'Scoob'. - Bernama