Polis cari pengguna FB dakwa kluster Covid-19 di Kuala Kurau

Iklan

BAGAN SERAI - Polis sedang berusaha mengesan individu yang mencetuskan kebimbangan ramai apabila memuat naik satu mesej di laman sosial facebook yang mendakwa terdapat kluster baharu wabak koronavirus (Covid-19) di Kuala Kurau di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Roslan Mohamad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi bahawa terdapat pesakit yang positif koronavirus (Covid-19) di Kuala Kurau seperti yang ditularkan, dan polis memandang serius penyebaran mesej sedemikian.

Iklan
Iklan

"Kita harap tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menggusarkan masyarakat sini dengan menyamakan kes Covid-19 di Kedah, kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam di sini,” katanya pada sidang media di Program Pencegahan Jenayah dan Kempen Kesedaran Kawalan Penyakit Berjangkit Bersama Masyarakat India di Ladang Gula di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesej tular oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Siti Aminah Ismail, yang mendakwa terdapat kluster baharu dari Singapura di Kampung Parit Mat Ali dan sebuah kedai di Kuala Kurau.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner G S Suresh Kumar berkata, pendekatan polis dengan melaksanakan program pencegahan jenayah itu dapat mengurangkan masalah penagihan dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

"Pihak polis mengambil inisiatif ini untuk menyampaikan mesej mengenai keselamatan dan aspek pencegahan jenayah kepada masyarakat di kawasan yang terpencil dari bandar ini. Sebelum ini kita menerima banyak aduan mengenai dadah dan elemen jenayah namun setelah rondaan unit rondaan bermotosikal dan kereta peronda polis ditingkatkan, masalah berkenaan dapat dikurangkan,” katanya. - Bernama

Iklan