Permohonan Jamal batal saman fitnah bekas menteri ditolak

Iklan
Jamal Md Yunos dan Yeo Bee Yin
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff yang mendengar kes itu dalam kamarnya menolak permohonan tersebut atas alasan tiada merit.

"Mahkamah mengarahkan Jamal membayar kos RM2,000 kepada Bee Yin," katanya dan memaklumkan mahkamah menetapkan 9 Oktober untuk pengurusan kes.

Iklan
Iklan

Peguam Datuk Sankara Nair yang bertindak bagi pihak Bee Yin mengesahkan perkara itu.

Berikutan keputusan hari ini, kes saman tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.

Iklan

Jamal selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 25 Jun lalu atas alasan saman tersebut terlalu awal kerana siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada 14 Jun 2017, Bee Yin, selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Iklan

Dalam pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang merupakan Ahli Parlimen Bakri mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal antara lain memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. - Bernama