KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Parti baharu Melayu yang bakal ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos depan.
Presiden parti baharu itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mereka sudahpun mengenal pasti calon yang akan bertanding dan bakal diumumkan dalam masa terdekat pada 12 Ogos nanti.
"Insya-ALLAH di PRK Slim nanti kita akan bertanding dan kita juga memang sudah berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan memohon kerjasama mereka untuk membantu calon kami.
"Sekiranya kita tidak sempat untuk daftar parti sebelum penamaan calon pada 15 Ogos nanti maka kita akan bertanding sebagai calon bebas," katanya ketika ditemui selepas hadir pada program Wadah Perjuangan Baru Bersama Ayahanda Tun M di Hotel Pullman di sini hari ini.
Mengulas lanjut berhubung parti yang bakal ditubuhkan itu bersifat bebas tidak akan terikat dengan mana-mana parti, Muhkriz berkata, mereka tidak memihak kepada mana-mana parti gabungan dan pada masa sama menjelaskan hubungan mereka dengan PH sentiasa ada.
Katanya, ruang perbincangan sentiasa ada dan sebagai contohnya bagi PRK Slim, walaupun mereka parti bebas tetapi masih boleh mewujudkan kerjasama politik bersama PH.
"Begitu juga pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti, sekiranya kita tidak bertanding banyak kerusi atau jumlah yang kita bertanding tidak cukup untuk membentuk kerajaan maka sudah tentunya kita mesti bergabung dengan pihak lain.
"Jadi ketika itu kita boleh membuat pilihan dengan siapa kita mahu bekerjasama dan siapa pun yang kita mahu bekerjasama itu perlulah mengikut kehendak parti serta tidak membawa kerosakan kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, Muhkriz turut berharap pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberi kerjasama segera mungkin dalam urusan pendaftaran kerana ia menjadi harapan parti untuk terus terlibat dalam proses demokrasi negara.