Hanya 1,000 pengunjung di Teluk Cempedak mulai hari ini

Iklan
Pemeriksaan suhu dijalankan di setiap laluan masuk sebelum kad nombor diserahkan kepada pengunjung.

KUANTAN - Hanya 1,000 orang pengunjung dibenarkan masuk ke Teluk Cempedak mulai hari ini dalam masa sehari bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, jumlah pengunjung ini berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) itu ditetapkan selepas hasil tinjauan pada 1 Ogos lalu mendapati terdapat lebih kurang 2,000 pengunjung di Teluk Cempedak.

"Semua pengunjung ke dataran dan pantai Teluk Cempedak diwajibkan melalui laluan khas yang telah disediakan.

Iklan

"Sebanyak tiga laluan masuk dan keluar telah disediakan kepada pengunjung sama ada yang berkenderaan atau berjalan kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuantan, Superintendan Mohammed Rizal Kamaruddin berkata, tiga laluan tersebut ialah laluan A yang terletak di parkir Majlis Perbandaran Kuantan (MPK); laluan B iaitu parkir swasta dan laluan C, check points di antara restoran makanan segera (McDonalds dan KFC).

Iklan
Kad nombor bilangan pengunjung.

Menurutnya, seramai 20 anggota akan ditempatkan setiap hari terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Semua pengunjung ke Teluk Cempedak diwajibkan mengambil kad pengunjung yang disediakan di semua laluan masuk dan wajib dikembalikan sebelum meninggalkan lokasi. Satu individu hanya satu kad nombor.

"Semua pengunjung diwajibkan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual, melakukan pemeriksaan suhu badan di semua pintu masuk, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Kad itu akan membantu kita memantau jumlah pengunjung. Jika jumlah pengunjung telah mencapai had yang ditetapkan, mana-mana kenderaan untuk ke Teluk Cempedak akan dilencongkan kecuali bagi pelanggan McDonalds dan KFC," katanya ketika ditemui di Teluk Cempedak hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Rizal berkata, pekerja, penjaja dan pekedai di dalam kawasan yang dihadkan tidak perlu mengambil kad pengunjung, namun wajib masuk melalui laluan yang telah ditetapkan dengan menunjukkan kad pekerja atau pengesahan kepada petugas di semua laluan masuk.

Katanya, SOP itu akan berkuatkuasa bermula hari ini jam 10 pagi hingga 10 malam pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.