PUTRAJAYA - Kerajaan digesa meneliti semula kriteria golongan yang dikategorikan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana sebelum (M40) sebelum menyalurkan subsidi secara bersasar bermula Februari depan.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kajian yang teliti dan menyeluruh perlu dilakukan supaya subsidi yang diperuntukan sampai kepada golongan memerlukan bagi membantu rakyat melalui kehidupan dengan lebih selesa.
Menurut Mohd Azmi, segelintir golongan M40 terutamanya mereka yang tinggal dikawasan ibu kota juga boleh dikategorikan berpendapatan rendah B40 jika dinilai dari sudut perbelanjaan harian, tanggungan dan komitmen bulanan yang tinggi.
"Segelintir golongan berpendapatan RM4000 hingga RM6000 dikawasan bandar juga boleh dikategorikan sebagai B40 jika diambil kira soal perbelanjaan, tanggungan, dan komitmen bulanan mereka berbeza dengan mereka yang dalam situasi sama tetapi tinggal di kawasan luar bandar.
Jadi kita minta kerajaan menjalankan kajian lebih terperinci dan menilai semula golongan M40 di kawasan bandar supaya mereka juga dapat menikmati subsidi yang diperuntukan kerajaan kepada yang lebih terfokus untuk golongan B40 agar subsidi turut dapat dinikmati secara berkesan,"katanya.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Pengguna Pulau Pinang turut mencadangkan beberapa kriteria perlu diberi perhatian termasuk jumlah pendapatan, komitmen hutang, jumlah tanggungan, dan lokasi tempat tinggal dalam menyalurkan subsidi bersasar kepada rakyat.
Sebagai contoh pasangan yang mempunyai tiga orang anak dengan pendapatan RM3000 dan tinggal di Kuala Lumpur menanggung beban kewangan yang lebih kritikal berbanding mereka yang berada dalam situasi sama tetapi tinggal di luar bandar.
"Terdapat kajian yang dilakukan mendapati pasangan muda hari ini hanya mempunyai baki pendapatan sebanyak RM76 sahaja, bagaimana jika berlaku perkara di luar jangka termasuk masalah kesihatan, kecemasan, kehilangan kerja, dan sebagainya,"ujarnya.
Disamping itu beliau beliau meminta kerajaan memikirkan mekanisme terbaik supaya subsidi tersasar seperti subsidi bahan api yang diumumkan dalam Bajet 2019 sampai dan tidak tersasar.
Dalam pembentangan Bajet 2019 lalu golongan B40 merupakan antara penerima manfaat paling besar berbanding mereka berpendapatan pertengahan dan lebih tinggi.