PUTRAJAYA - ASEAN mesti mengutamakan pemerolehan vaksin Covid-19 secara blok bagi meningkatkan kebolehsediaan penawar bagi mengekang jangkitan wabak itu di rantau ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam ucapannya bersempena sambutan Hari ASEAN ke-53 di Wisma Putra di sini hari ini, beliau berkata, Malaysia sentiasa berpendirian bahawa vaksin tersebut sangat penting untuk kebaikan global dan adil, mudah diakses dan berpatutan untuk semua.
Beliau berkata, ASEAN di masa depan harus menempatkan diri sebagai pusat pengeluaran vaksin atau pengedaran ubat tersebut bagi terus menurunkan kos dan mempercepatkan rantau ini untuk mendampingi inovasi bioteknologi.
”Ketika dunia berlumba-lumba mencari vaksin Covid-19 - ASEAN secara kolektif dengan lebih 650 juta penduduk perlu berikhtiar untuk tetap teguh dalam komitmen memastikan ASEAN diutamakan dalam membangun dan mengedar vaksin di masa depan,” katanya.
Melangkah ke depan, katanya, ASEAN perlu mengutamakan diplomasi vaksin dan menyedari bahawa semua negara tidak akan kembali kepada keadaan normal tanpa ubat yang diperlukan untuk merawat dan mencegah pandemik Covid-19.
”Dalam setiap krisis besar wujud peluang besar. Walaupun diplomasi vaksin adalah salah satu daripadanya, Covid-19 perlu menjadi sebagai satu kesedaran untuk kita meninggalkan zon selesa dan meneroka bidang kerjasama baharu yang boleh kita manfaatkan,” katanya.
Hadir sama pada sambutan itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN dianggotai Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Hishammuddin berkata, beliau telah membangkitkan mengenai keperluan vaksin Covid-19 untuk rantau ASEAN dalam perbualan telefonnya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Michael R Pompeo dan Menteri Luar China, Wang Yi, baru-baru ini.
Katanya, negara anggota ASEAN wajar menggunakan kelebihan yang ada sebagai satu suara apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa yang mempunyai ruang untuk membantu ASEAN.
"Tidak ada gunanya kalau vaksin Covid-19 sampai ke Malaysia sedangkan negara-negara jiran masih bergelut dengan cabaran pandemik itu," katanya.- Bernama