PUCHONG - Berpura-pura kehilangan telefon bimbit bagi menyembunyikan kegiatan perjudian online yang disediakan premis terbabit.
Helah seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun itu yang dipercayai merupakan penjaga premis itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil selepas telefon bimbitnya ditemui di celah sofa yang didudukinya.
Itu antara kejadian yang berlaku dalam Ops Dadu kira-kira jam 12 tengah malam tadi di Taman Kinrara, di sini.
Dalam kejadian itu, wanita berusia 25 tahun itu awalnya berpura-pura seperti tercari-cari telefon bimbitnya selepas diarah pasukan serbuan. Namun, setelah pemeriksaan beberapa minit, telefon bimbit yang dipercayai menguruskan maklumat tentang tertaruhan perjudian online itu telah ditemui dicelah kerusi.
Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dua buah premis di kawasan berkenaan telah diserbu hasil maklumat dan risikan.
"Hasilnya, seramai 12 individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 50 tahun telah ditahan.
"Rampasan membabitkan lima komputer riba, 13 tablet, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,290," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Beliau berkata, siasatan mendapati, salah sebuah premis dipercayai baru beroperasi empat hari dengan nilai pertaruhan sebanyak RM89,700 sepanjang tempoh itu.
"Ini bermakna premis ini menawarkan pertaruhan sebanyak RM33,000 dalam tempoh sehari," katanya.
Jelasnya, pihaknya percaya premis ini hanya menawarkan perjudian ini kepada pelanggan tetap mereka yang dihubungi melalui aplikasi Wechat.
"Siasatan terus dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.