SIK - Kesempitan wang memaksa sepasang suami isteri dari Kampung Batu 8 di sini meminjam wang daripada ah long bagi membeli pakaian persekolahan anak.
Pengerusi Briged Bakti Malaysia (BBM) Cawangan Kedah, Md Tahir Saad berkata, suami isteri berusia 43 dan 47 tahun itu tinggal bersama dua anak berusia 11 dan lima tahun.
Menurutnya, si suami terpaksa meminjam RM1,000 dengan menyandarkan kad bank (kad ATM gaji bulanan) kepada ah long berkenaan.
"Kerana tekanan masalah kewangan yang mendesak, mereka juga terpaksa pinjam melalui skim pinjaman berlesen (ah long) sebanyak RM1,000 untuk keperluan untuk persekolahan anaknya pada November 2018.
"Kadar bayaran balik RM190 sebulan, mulai Disember 2018 sehingga November tahun ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, ketua keluarga itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah agensi kerajaan manakala isteri tidak bekerja dan hanya menjual buah serta kuih secara kecil-kecilan.
"Si suami jatuh sakit akibat kencing manis kritikal dan diberikan cuti sakit berperingkat peringkat sejak November lalu dan masih bercuti sehingga kini.
"Penglihatannya mulai kabur dan sering ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan dengan klinik pakar mata setiap dua minggu sekali," katanya.
Beliau berkata, dalam masa sama, pesakit menghadapi kesan sampingan pada buah pinggang.
"Baru-baru ini si isteri terputus modal untuk buat kuih kerana suaminya sakit dan dimasukkan wad beberapa hari," katanya.
Tambahnya, keluarga itu juga hanya bergantung kepada gaji bersih sebanyak RM846,40.
"Dengan jumlah tersebut mereka gunakan untuk bayar sewa rumah RM250 sebulan, kos pengangkutan anak ke sekolah, keperluan dapur dan sebagainya," katanya.
Md Tahir berkata, keluarga itu juga pernah tidak dapat menjelaskan bayaran sewa selama dua bulan hujung tahun lalu.
"Malah mereka ambil barang- barang di kedai runcit dengan hutang. Minggu ni makan nasi berlauk telor goreng sahaja.
"Dengan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat dan kos untuk berulang alik ke Hospital Sungai Petani lebih kurang 90 kilometer pergi balik semestinya ia agak membebankan. Mereka juga tidak mempunyai kenderaan lain selain sebuah motor sahaja," katanya.
Md Tahir berkata, setakat ini keluarga itu disahkan belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak.
"Sewaktu BBM Kedah menziarahi mereka, keadaan wajahnya pucat dan lesu.
"Dalam kunjungan ini, BBM Kedah menyerahkan sumbangan bantuan beras dan lain-lain serta sedikit wang tunai.
"BBM Kedah akan memaklumkan kesusahan keluarga ini pada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) daerah Sik dan Pejabat JKM daerah Sik," katanya.
Sumbangan kepada keluarga ini boleh disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional di nombor akaun 0211541100001544 atas nama Siti Hajar Rohani.
Untuk rujukan kes ini, hubungi 016-2125574 BBM Kedah.
Sementara itu, difahamkan maklumat keluarga itu telah diterima pihak LZNK.