BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas tujuh kontena yang membawa spesis kayu pine petang kelmarin.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, kayu bernilai RM338,503 itu dibawa dari Lithuania ke negara ini.
Menurutnya, kesemua kontena itu ditahan dan diperiksa di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada jam 4.34 petang kelmarin.
"Semasa menjalankan pemeriksaan rutin di tapak pemeriksaan kontena NBCT, kita menahan tujuh kontena yang membawa muatan spesis kayu pine sebanyak 353.732 meter kubik (MTQ).
"Kayu tersebut didapati diimport tanpa permit import yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Maqis," katanya dalam satu kenyataan tadi.
Beliau berkata, pengimportan kayu tanpa permit import yang sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Pesalah juga boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maqis Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. Ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini," katanya.