PORTLAND - Seorang kanak-kanak yang kehilangan cincin ketika berkebun terkejut apabila menemui semula cincin itu pada pokok bawang putih yang baharu bercambah.
Madison Cooper, 12, berasal dari Maine, Amerika Syarikat menyedari cincin yang dipakainya hilang selepas menanam bawang putih di kebun Yayasan Chewonkin pada Oktober lalu, lapor United Press International (UPI).
Cincin itu adalah milik datuknya yang telah meninggal dunia pada tahun 2012.
Ibunya, Perry berkata, cincin itu dihadiahkan sempena hari Valentine.
"Madison sangat menyukai cincin itu yang sebelum ini disimpan oleh suami saya. Jadi suami hadiahkan kepadanya.
"Ketika Madison mengatakan dia kehilangan cincin itu, kami semua sedih. Tapi kami tidak menyalahkannya kerana itu bukan salah dia," kata Perry.
Bagaimanapun sembilan bulan kemudian, Perry menerima panggilan oleh Hannah Marshall dari Yayasan Chewonki.
Hannah memberitahu ketika mereka menuai bawang putih, mereka menjumpai sebentuk cincin di bahagian tengah pokok bawang berkenaan.
"Kami ingat sampah tetapi bila dibersihkan, kami terkejut melihat cincin itu bergulung dengan bawang putih," katanya.