TAPAH - Masyarakat orang asli boleh mengisi kekosongan tenaga kerja yang ditinggalkan pekerja asing menerusi latihan dan pendedahan awal terhadap program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, program yang diperkasakan sejak Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) itu terbukti meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran dalam pasaran pekerjaan.
Menurutnya, berdasarkan situasi semasa dilihat ramai pekerja asing yang pada awalnya dibawa masuk untuk tenaga buruh mula menjadi pekerja separa mahir dan mahir.
"Pesaing pekerja asing mula menjadi generasi kedua di negara ini, lihatlah sekarang ini pun hampir 90 peratus yang baiki telefon terdiri daripada orang Bangladesh.
"Sebahagian besar majikan yang mempunyai kepentingan pula memberikan alasan bahawa warga tempatan tidak bersedia dan tidak rela membuat kerja-kerja seperti itu.
"Maka dengan adanya latihan TVET ini, kita boleh beri jaminan bahawa majikan tidak perlu lagi ambil pekerja asing, cumanya masyarakat orang asli perlu promosikan diri mereka dan terlibat sama dalam program pembangunan seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Go TVET Orang Asli yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Datuk R Nelson di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.
Saravanan berkata, kerajaan kini menjadikan TVET sebagai fokus kepada orang asli supaya mereka dapat bergerak seiring dengan kemajuan negara dan tidak tercicir dalam perkembangan dunia yang semakin pesat.
Katanya, sebagai inisiatif awal seramai 46 belia Orang Asli dari Cameron Highlands dipilih melanjutkan pelajaran dalam TVET di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Ipoh antara 24 hingga 27 bulan bermula Januari lalu.
"Fasa seterusnya akan melibatkan belia Orang Asli di Tapah pula dan kita perluaskan ke negeri-negeri lain yang terdapatnya masyarakat orang asli.
"Sasaran kita untuk melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 belia orang asli di bawah program TVET sehingga akhir tahun depan," katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 Ground Koordinator TVET Orang Asli dan mengadakan sesi pengenalan dengan 46 peserta yang menjadi kumpulan pertama pelajar orang asli di bawah program Go TVET.