Homestay jejaskan bisnes hotel?

Iklan
Mohammad Zulkepli - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
CAMERON HIGHLANDS - Persatuan Homestay Kampung Taman Sedia, Tanah Rata kesal dengan dakwaan pihak tertentu bahawa kewujudan homestay di kampung itu menjejaskan perniagaan hotel-hotel.

Pengerusinya, Mohammad Zulkepli Daud berkata, sedangkan 17 homestay di kampung itu menjalankan perniagaan secara sah dan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Saya dapat aduan kononnya homestay di Kampung Taman Sedia menjadi punca kurangnya permintaan kepada hotel di Cameron Highlands. Sedangkan semua homestay di sini berdaftar dan dipantau oleh Motac.

Iklan
Iklan

"Mungkin tuduhan itu timbul kerana ramai pelanggan memilih homestay kami yang harganya lebih murah berbanding hotel," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Gambar hiasan

Menurut beliau, pihak berkenaan tidak sepatutnya menyalahkan homestay di Kampung Taman Sedia kerana kewujudan homestay 'haram' adalah jauh lebih banyak.

Iklan

"Malah, kami sendiri pun terjejas dengan kewujudan homestay tidak berdaftar ini. Lebih dikesalkan, ada pemaju menjadikan rumah yang tidak dijual sebagai homestay.

"Kita juga terima banyak aduan buruk daripada pelanggan mengenai homestay tidak berdaftar ini. Sedikit sebanyak ia menjejaskan imej homestay yang berdaftar ini," katanya.

Iklan

Namun, katanya, pengusaha homestay berdaftar tiada hak untuk menghalang kewujudan homestay 'haram' ini.

"Tetapi kami ada buat aduan dan harap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Zulkepli yakin pengalaman menginap yang menarik di homestay Kampung Taman Sedia menjadikannya sebagai pilihan tetamu.

"Homestay kami bukan sekadar tempat menginap. Tetapi tetamu boleh menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan pengusaha homestay.

"Malah, perkhidmatan dan kemudahan yang kami tawarkan juga setaraf dengan hotel lima bintang walaupun harganya lebih murah. Itulah yang menjadi kelebihan homestay kami berbanding hotel dan homestay tidak berdaftar," katanya.