KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa syukur boleh mengulas isu melanda Kashmir tanpa sekatan dan ancaman kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri pada masa ini.
Beliau berkata, apa yang disuarakan adalah wajar kerana penindasan yang berlaku tidak harus dibiarkan.
"Saya bersyukur saya bukan lagi Perdana Menteri sekarang kerana saya boleh bercakap mengenai isu Kashmir tanpa sekatan dan ancaman boikot.
"Saya memilih untuk bersuara walaupun akan mendapat tentangan dan perbezaan pendapat.
"Pada saya, berdiam diri ketika negara besar yang menindas negara lain adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan,” katanya ketika berucap sempena Program Hari Solidariti untuk Kashmir di sini hari ini.
Beliau pada masa sama mengulangi pendirian bahawa isu Kashmir perlu diselesaikan dengan aman.
"India harus bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu berkenaan dan mereka tidak seharusnya mengendahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Tambah Dr Mahathir, beliau tidak perlu meminta maaf atas apa yang dikatakan sebelum ini kerana ia sudah pun mempengaruhi eksport minyak sawit negara ini ke India.
"Saya tidak tahu jika itu adalah harga yang tinggi untuk membayar penentangan terhadap ketidakadilan tersebut," katanya.
Pada 28 September lalu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Dr Mahathir antara lain menyebut, Jammu dan Kashmir telah ‘ditawan dan dijajah’, dan meminta New Delhi dan Pakistan bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut.
Komen beliau dikatakan menyebabkan India mengenakan sekatan ke atas import minyak sawit dari Malaysia.