KOTA TINGGI - Pihak bertanggungjawab diharap dapat mengambil tindakan tegas kepada pemilik lembu atau haiwan yang berkeliaran dan mengganggu pengguna jalan raya di antara jalan Sungai Mas-Lok Heng dan Air Tawar-Semenchu di sini.
Adun Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, keadaan itu telah menjadi satu ancaman kepada pengguna jalan raya di mana telah banyak berlaku kemalangan maut dan serius di laluan berkenaan.
Menurutnya, beliau mahu pihak berkenaan mengambil contoh seperti mana tindakan di Terengganu di mana lembu yang tiada kawalan dan berkeliaran ditangkap dan dilelong.
"Rata-rata kemalangan berlaku pada waktu malam yang melibatkan kenderaan dan lembu ekoran faktor gelap pengguna jalan raya tidak nampak lembu yang berkeliaran.
"Kita amat berharap sesiapa yang memelihara atau menternak lembu ini kena lebih bertanggungjawab kerana ia boleh menyebabkan kematian dan kemalangan yang teruk.
"Perlu bertanggungjawab ke atas ternakan, sediakan tempat, padang rumput ragut untuk lembu. Jika terkena kepada diri sendiri atau keluarga kita baru kita tahu pentingnya penjagaan yang betul,” katanya.
Beliau juga memohon kepada Jabatan Veterinar untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah yang tegas dan perlu untuk mengawal lembu-lembu berkenaan.
"Jika perlu ditangkap, tangkap dan letakkan di tempat yang terkawal dan kenakan bayaran yang setimpal jika pemiliknya menuntut atau dilelong kepada awam.
"Pihak pejabat daerah telah mengeluarkan garis panduan dan tindakan kepada penternak lembu. Kita harap semua yang terlibat mematuhi perintah ini demi keselamatan orang lain,” katanya.