DI tengah-tengah ledakan informasi dan letusan wahana sosial, ada beberapa perkara yang harus kita renungkan. Apakah masih ada kelibat penyair yang benar-benar tulus memperjuangkan martabat seni? Apakah pandangan kita terhadap karakter pengarang yang mudah ‘menjual diri’ dan bersuara sebagai ‘kakak tua’?
Apakah perlu penyair berhujah dengan gaya bahasa dan ketrampilan tinggi demi mencorakkan landskap seni, pemikiran dan kehidupan? Atau adakah dengan berkarya dalam kecintaan terhadap bahasa akan memperhidup dan memperkaya citra jati diri bangsa?
Penyair itu akhirnya ialah seorang pemikir dan pelita hidupnya juga seharusnya bersumbukan nilai-nilai terbaik dan nurani yang terimbang.
Yang dikejar bukan populariti, kebesaran nama dan ketinggian status semata-mata tetapi tujuan-tujuan kehidupan dan kemanusiaan yang lebih besar terhadap citra sejagat.
Laluan kesusasteraan Melayu Nusantara yang mengalir dari zaman silam telah melahirkan pelbagai jenis puisi seperti sajak, pantun, syair, gurindam, seloka, nazam, teromba dan juga prosa.
Konsep asas kepengarangan sering merumuskan dua perkara bagi penciptaan karya tersebut: menghibur dan juga mendidik.
Bagaimana seseorang pengkarya itu harus menghibur dan mendidik ditentukan oleh kebolehan dan kemahirannya mengguna dan mengolah gaya bahasa apabila berhadapan dengan pelbagai keadaan hidup pada zamannya.
Dalam konteks kepengarangan Islam pula, ada beberapa prinsip lagi yang harus menunjangi pengkaryaannya iaitu hal-hal berkaitan amar makruf, nahi mungkar, nilai-nilai kebaikan dan kemanusiaan seharusnya membumbui rencah karyanya.
Nilai-nilai kebaikan dan kemanusiaan ini menjurus kepada konsep ‘murabbi’ dan ‘mualim’ atau dalam laras bahasa Melayu tinggi lebih sesuai digelar sebagai adiguru.
Sebagai dialek sohor kini, khalayak lebih senang menggelarkan kelompok yang dianggap mahir dan ahli dalam bidang-bidang tertentu ini sebagai sifu.
Panggilan sifu merupakan pinjaman daripada bahasa Kantonis untuk merujuk kepada individu berkemahiran, mampu memberi tunjuk ajar, bimbingan dan menjadi contoh kepada kelompok dalam bidang kepakarannya.
Pada 31 Julai lalu, sempena Aidiladha ditayangkan drama khas berjudul Sepatu yang telah saya tulis skripnya berdasarkan adaptasi sebuah cerpen yang saya hasilkan bersempena pandemik Covid-19.
Drama ini dilakonkan beberapa orang pelakon popular tanah air sebagai teraju utama iaitu Sabri Yunus dan Haeriyanto Hassan.
Sebagai penulis skrip, saya turut berpeluang melakonkan watak tambahan dalam drama tersebut.
Apa yang mengagumkan, meskipun diundang sebagai pemain watak utama, Sabri Yunus yang cukup tersohor dengan karisma lakonan dan pengalaman kepengarahan tidak pula lokek untuk memberikan idea dan menunjuk ajar agar skrip lakon drama itu menjadi lebih mantap dan berkesan untuk disampaikan kepada khalayak.
Bagi saya, dengan karakter dan karisma sebegini sewajarnyalah Sabri Yunus dianggap sebagai ‘sifu’ dalam bidang lakonan dan kepengarahan.
Begitu juga dalam bidang nyanyian, apabila ditanyakan siapakah ‘sifu’? Sudah pastilah nama pertama yang muncul di pemikiran ialah Datuk M Nasir. Julukan itu bukan sahaja sinonim malahan kelihatan sudah bersebati dengan identiti kesenian beliau.
Bagaimana pula dalam bidang kesusasteraan? Siapakah yang benar-benar layak dianggap sebagai sifu sastera selain daripada Sasterawan Negara?
Sifu-sifu ini pula sudah pasti akan diasingkan berdasarkan kepelbagaian genre sastera seperti puisi, cerpen dan novel. Ratusan penulis bergelumang dalam rencah kepengarangan ini, adakah kesemuanya layak digelar sebagai sifu?
Siapa pula yang menentukan seseorang itu layak digelar sifu atau tidak? Melemparkan soalan ini pastinya akan mempertemu pelbagai jawapan yang berbeza. Setiap kelompok pengarang pastinya mempunyai pilihan tersendiri untuk disenaraikan.
Secara peribadi, jika ditanyakan siapakah sifu sastera negara? Tanpa teragak-agak saya menyebutkan nama Datuk Rahman Shaari, penerima anugerah SEA Write Award 2007 dan beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 1976, 1982, 1986 dan 2003.
Bukan setakat faktor pengiktirafan kepengarangan sahaja malahan Rahman Shaari turut diberi julukan ‘Al-Hafiz’ puisi kerana keistimewaan beliau menghafal lebih daripada 300 puisi.
Semenjak dari tahun-tahun 1980-an lagi beliau telah mengajar berkaitan puisi dan puluhan penyair besar negara telah terhasil daripada didikan beliau. Dalam genre novel pula, saya lebih senang menanggapi Sri Diah sebagai salah seorang adiguru yang selayaknya dianggap sebagai sifu.
Tanpa perlu menyebutkan pencapaian dan penganugerahan yang telah beliau kecapi dalam bidang kepengarangan, para penulis pemula mahupun mapan pastinya mengenal susuk kepengarangan yang dimiliki novelis tersohor ini.
Sehingga kini beliau masih rancak mewarnai kanvas kepengarangan negara dengan membimbing ratusan penulis pemula dalam siri-siri Bengkel Kisah Hidup (BKH) yang beliau kendalikan.
Sekadar menyebutkan contoh dua nama ini, tidak bermaksud saya menolak dan merendahkan keilmuwan dan kepakaran yang dimiliki tokoh-tokoh kepengarangan lain.
Tidak mudah menggalas amanah gelaran sifu kerana susuk peribadi dan kepengarangan mereka sering diperhatikan para pengikutnya. Istilah sifu juga tidak semberono, mudah dan murah diberikan kepada sesiapa sahaja.
Ilmuwan Islam, Yusuf Al-Qardawi berpandangan Islam sememangnya menghidupkan rasa keindahan dan mendukung kesenian, dengan syarat membawa kebaikan dan tidak merosakkan, membangun dan tidak menghancurkan.
Pandangan ulama ulung ini memerikan amanah yang cukup besar untuk digalas kelompok penulis. Berkarya bukan sekadar intuisi populariti untuk digelar sifu namun mendidik rumpun masyarakat ke arah kesempunaan akhlak insaniah.
*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)