SUBANG - Seni lukis kreatif pada permukaan kek antara karya yang memerlukan ketekunan tinggi untuk dihasilkan, sekali gus hasil itu mampu memberi terapi diri buat pelukis.
Justeru, pekerja di sebuah kedai kek terkemuka, Nurul Aina Abu Bakar, 23, mengambil pendekatan melukis pelbagai lukisan seperti potret dan kartun pada permukaan kek bagi menghilangkan kekusutan fikiran.
"Minat mendalam terhadap dunia seni lukis sejak di bangku sekolah lagi.
"Bila bekerja di kedai kek, saya implimentasikan bakat yang ada dengan melukis potret, kartun pada permukaan kek ikut permintaan pelanggan," katanya kepada Sinar Harian.
Kata Nurul Aina, membina keyakinan dan komited menghasilkan lukisan memerlukan ketelitian agar sentuhan tampak hidup dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
"Walaupun hasilkan sesebuah lukisan perlu mengambil masa berjam-jam, namun demi hasilkan karya lebih menarik ia amat berbaloi.
"Memang melukis menggunakan krim sangat mencabar, ia memerlukan kita membuat banyak lapisan supaya warnanya jelas dan terang, berbeza lukisan, abstrak, potret atau kartun,” katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik ini merupakan graduan diploma pengurusan hotel dan katering di Cybernetics International College of Technology, mengakui segala-galanya bermula apabila dia melukis gambar kartun pada pinggan kek.
"Ramai memuji dan meminta saya menyiapkan lukisan, dalam tempoh bekerja tiga tahun di sini, lebih 30 lukisan dibuat.
"Ia menyuntik semangat untuk berusaha kerana memberikan kepuasan kepada diri dan pelanggan,” katanya.
Sudah lebih tiga tahun bekerja di kedai berkenaan, Nurul Aina memiliki impian untuk membuka kedai kek sendiri.
"Hasrat itu memang ada tetapi buat masa ini, saya timba pengalaman dahulu sebelum membuka perniagaan sendiri," katanya.
Jelasnya tidak menyangka perkongsian rakannya, Wafa Norsyazana mengenai hasil seninya di Twitter menjadikan dirinya popular.
"Saya juga tak sangka, pada awalnya ia sekadar suka-suka untuk menggembirakan pelanggan dengan hasil kerja saya tetapi kini karya saya diminati ramai
"Alhamdulillah ramai yang 'request'... saya lagi seronok dapat cuba benda baru," katanya yang menggunakan kek tiruan untuk mengasah bakat menulis dan melukis yang disediakan majikan kepada pekerja.
Antara mencuri perhatian ialah lukisan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersempena dengan ulang tahun keputeraan yang ke-60 baru-baru ini selain watak kartun Upin & Ipin serta Hari Raya Aidiladha.