Lebuh raya air penyelesaian tuntas

Iklan
Gamba hiasan. Gambar kecil: Tuan Ibrahim Tuan Man

SELEPAS 43 tahun, Pas kembali semula menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dengan tiga daripada pemimpin parti itu terpilih sebagai menteri penuh, manakala lima lagi dilantik sebagai timbalan menteri dari pelbagai portfolio kementerian.

Penyertaan mereka dalam kerajaan PN pastinya menjadi tumpuan rakyat, lebih-lebih lagi ramai kalangan pengkritik parti itu yang meragui kemampunan golongan 'lebai' dan 'ustaz', gelaran yang sering dilabelkan terhadap pemimpin Pas, untuk mengemudi kementerian-kementerian penting.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, prestasi menteri-menteri Pas sepanjang hampir enam bulan pentadbiran kerajaan PN dan persidangan Dewan Rakyat mendapat pujian banyak pihak, sekaligus membuka mata rakyat bahawa parti itu sememangnya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar sekiranya terus diberikan kepercayaan.

Ikuti wawancara eksklusif SINAR AHAD bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menyelami pandangan beliau terhadap hala tuju kerajaan PN dan Muafakat Nasional (MN), perkembangan Pas serta sasaran KASA untuk menyelesaikan masalah air dan alam sekitar di negara ini bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Ahad, Junhairi Alyasa dan wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin.

Iklan

SINAR AHAD: Adakah Datuk dan wakil rakyat Pas lain pernah terfikir pada satu masa akan diberi ruang menggalas amanah sebagai menteri Kabinet dalam keadaan mengejut?

Pas selepas pembentukan Barisan Nasional 43 tahun lalu, ini kali kedua kita bersama dalam kerajaan. Ada tiga ahli Parlimen daripada Pas yang dilantik sebagai menteri manakala lima ahli Parlimen dilantik sebagai timbalan menteri. Saya secara peribadi tidak terfikir dan menjangka akan menjawat jawatan menteri.

Iklan

Dalam Pas, jawatan bukan keutamaan. Yang penting, perjuangan kita bawa tetapi bila diberi amanah, tanggungjawab kita pikul. Jadi terbentuklah kerajaan dan alhamdulillah, bila Pas duduk dalam Kabinet, maka kita terus dengan dasar perjuangan kita tetapi kini dalam konteks sebuah kerajaan.

Saya diamanahkan menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air. Ini kali pertama dalam sejarah, alam sekitar diberikan satu kementerian. Sebelum ini, ia sebagai sebuah jabatan sahaja. Pada peringkat awal pembentukan kabinet ia cuma Kementerian Alam Sekitar, tiada portfolio Air. Air itu sektor kedua yang baru dipindahkan daripada Kementerian Sumber Asli dan menjadi komponen kedua Kementerian Alam Sekitar.

Sektor air dimasukkan dalam Kementerian Alam Sekitar kerana kedua-duanya adalah dekat (saling berkait). Pencemaran berlaku dalam air dan dalam al-Quran ada ayat menyatakan ‘Dijadikan daripada air ini sebagai sumber kehidupan’.

Pasukan kementerian juga gembira dengan penggabungan kedua-dua sektor, tetapi masih ada beberapa sektor yang kita terpaksa berbincang dengan kementerian lain. Contohnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana pengurusan sisa pepejal masih di bawah kementerian itu. Isu air luar bandar pula masih berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Maka kerana itu kita wujudkan sebuah jawatankuasa perundingan antara kementerian yang berkaitan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk kita bekerjasama.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pembangkang mengkritik tindakan memecahkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESSTAC) kepada tiga kementerian berlainan termasuk Kementerian Alam Sekitar dan Air sebagai habuan politik. Apa komen Datuk?

Saya hendak betulkan persepsi itu. Bukan soal kita hendak banyakkan kementerian. Kita boleh letak satu kementerian jaga 10 atau 20 agensi, tetapi keberkesanan serta fokus tidak akan ada. Fokus manusia ada hadnya.

Bila begitu banyak sangat perkara hendak ditumpu, ia akan hilang tumpuan. Sebaliknya kita cuma akan fokus kepada perkara yang kita suka. Yang kita tidak suka akan terabai.

Soal yang penting adalah bukan hendak beri imbuhan kepada parti-parti politik tetapi keberkesanannya. Sebagai contoh isu air, ia merupakan segmen yang amat besar merangkumi isu pembetungan, perparitan, bekalan air selain hakisan dari punca air sampailah ke laut. Apa sahaja mengenai air ada kaitan dengan alam sekitar.

Bila diwujudkan satu kementerian, kita akan lebih fokus terhadap apa-apa yang dipertanggungjawabkan.

Setelah lima bulan Datuk menjadi menteri, apakah cabaran paling besar yang dihadapi kementerian dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan bekalan sumber air yang mencukupi untuk masa depan rakyat Malaysia?

Dalam sektor alam sekitar, kita ada tiga cabaran besar. Pertama sekali, pencemaran. Sungai kita sumber air. Industri perlu dibangunkan. Kawasan pertanian mesti diperbanyakkan. Negara sedang membangun.

Jadi di situ masalah akan bertembung. Bila perumahan terpaksa diperbanyakkan, kawasan pertanian diperbesarkan secara automatik akan berlaku pencemaran sungai dan sebagainya. Sebab itu kita mengawasi Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Pastikan semua ikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi tangani pencemaran dari kilang-kilang. Dalam tempoh PKP baru-baru ini pun, ada kilang yang kita ambil tindakan dan gantung operasi. Ada yang tiga bulan kita gantung operasi demi menjaga kepentingan alam sekitar.

Keduanya, pencemaran domestik. Malaysia pada tahun 2019, apabila China tidak lagi mahu menerima sisa plastik, negara kita menjadi tempat pembuangan plastik dari negara mereka.

Maksudnya industri plastik bercambah, menyebabkan kita berdepan kemasukan plastik secara tidak betul dan berlaku pencemaran. Jadi kita buat operasi hantar balik plastik-plastik yang tidak tidak dapat dicerna termasuk sisa-sisa lain berkaitan. Biasanya negara sedang membangun ini merupakan tempat pembuangan sampah dari negara luar. Dalam hal ini, Malaysia akan bertindak tegas.

Cabaran besar ketiga ialah bekalan air. Beberapa negeri seperti Kelantan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal. Saya sebut dalam Parlimen, kalau kita salahkan Kelantan sebab tidak cukup air tetapi kita tidak bantu, tidak selesai masalah. Jadi sekarang saya ambil pendekatan untuk cari jalan keluar.

Tiada gunanya kita dedahkan masalah tetapi tiada jalan penyelesaian. Kelantan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal. Pertama melibatkan sumber air, kedua isu bekalan air bersih dan ketiga kadar kekurangan air sangat tinggi. Begitu juga di Kedah, Perlis, Melaka dan Labuan khususnya pada musim kemarau. Bekalan tidak cukup menampung. Jadi kita cari penyelesaian agar ada perancangan jangka panjang supaya kita boleh takungkan air sewaktu air tengah banyak untuk dimanfaatkan waktu kemarau.

Cuaca negara kita ekstrem. Waktu banjir air melimpah, waktu kemarau tiada air. Jadi kita harus memanfaatkan waktu-waktu itu untuk kegunaan pada waktu sukar.

Jadi, kita akan perbanyakkan TAPS (Takungan Air Pinggiran Sungai). Pertama, ia menjimatkan kos rawatan kerana bahan cemar sudah mendap. Kedua, air itu sudah ada dalam stok kita. Contohnya, Sungai Labu di Sepang, kita ada stok untuk tiga bulan. Ketiga, kita kongsi sumber. Ada negeri-negeri yang sumber airnya banyak, tetapi negeri jiran tidak ada air. Jadi kita buat konsep berkongsi sumber. Maknanya dua negeri akan berunding, lojinya akan dibuat di kawasan sempadan dua negeri. Contohnya, Negeri Sembilan dan Melaka, lojinya dibina di Negeri Sembilan, tetapi air juga akan dibekalkan ke kawasan Melaka.

Antara isu paling besar di Malaysia adalah jerebu setiap tahun. Kerajaan PH sebelum ini ada merancang satu Rang Undang-undang (RUU) berkaitan jerebu. Jadi sejauh manakah perancangan RUU itu akan dapat dilaksanakan?

Bila saya ambil alih, perkara pertama saya buat adalah saya semak sejauh mana RUU itu berkesan atau tidak. RUU Jerebu Rentas Sempadan itu sebenarnya masih belum digubal menjadi undang-undang, baru di peringkat cadangan, dibuat kajian untuk kita gubal RUU. Bila saya tengok, undang-undang yang sedia ada ini, yang paling penting adalah penguatkuasaan. Bukan sekadar gubal undang-undang sahaja.

Kalau kita gubal undang-undang, tetapi tidak boleh kuat kuasa, buat apa? Yang kita buat ini adalah untuk ambil tindakan kepada syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia.

Apa halangannya? Halangannya adalah adakah Indonesia akan beri kebenaran untuk kita dapatkan data tempatan mereka? Mereka tidak akan bagi. Semua negara menganggap maklumat dalam negara adalah maklumat keselamatan. Mereka tidak akan kongsi dengan mana-mana negara lain.

Yang kedua, apabila kita mengambil data negara jiran, mereka juga ada hak untuk mendapatkan data negara kita yang turut melibatkan data keselamatan. Kita tengok di Singapura, mereka gagal menjayakan undang-undang hampir serupa, tiada pun undang-undang itu dikuat kuasa. Di waktu sama, kita menggubal undang-undang untuk bertindak ke atas negara jiran kita, hubungan diplomatik jadi tidak elok.

Sedikit pengalaman dahulu dengan Indonesia, bila kita 'serang' mereka, hubungan jadi tidak baik. Kita hendak hubungi mereka payah, hantar surat pun tidak jawab, telefon pun tidak berangkat. Sedangkan kita jiran. Jadi saya ambil pendekatan memanfaat kerjasama antara negara-negara dalam ASEAN untuk atasinya.

Bagi saya, kalau negara jiran ada masalah, jangan bebankan mereka dengan tambah masalah. Tanggungjawab jiran, tolong waktu jiran kita bermasalah. Negara jiran pun tidak suka jerebu. Kalau kita yang duduk beribu batu dari negara mereka pun tidak tahan jerebu, mereka pun lagi tidak tahan. Waktu begitu sepatutnya kita bantu. Ini pendekatan saya.

Kita tidak mahu gubal undang-undang yang akhirnya tidak boleh kuat kuasa satu bab, yang kedua, merenggangkan hubungan diplomatik. Saya fikir, saya buat keputusan untuk bawa ke Kabinet. Kabinet bersetuju bahawa kita tarik balik cadangan RUU Jerebu Rentas Sempadan.

Tuan Ibrahim Tuan Man ditemuramah dalam Wawancara Sinar Ahad di Bangunan Parlimen bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin.

Dalam banyak-banyak isu, isu apakah yang menjadi keutamaan Datuk untuk diselesaikan sepanjang tempoh menerajui kementerian?

Saya hendak sangat soal air selesai. Rakyat perlu mendapat bekalan air bersih. Bekalan air bersih sekarang ini seperti Kelantan, banyak mengambil sumber air bawah tanah menyebabkan kosnya tinggi. Justeru, KASA sudah merancang pada masa hadapan, penduduk Kelantan dapat mengambil sumber air dari sungai. Hasrat saya hendak tengok supaya semua rakyat negara ini mendapat bekalan air bersih.

Yang kedua, semua negeri mesti ada stok (simpanan) air yang mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 hingga 30 tahun.

Sekarang margin simpanan air kita sangat rendah seperti Selangor, Melaka dan Kedah.

Justeru, saya menyasarkan supaya rizab air mesti melebihi 15 peratus di setiap negeri. Sekarang ini ada negeri hanya capai rizab air sebanyak tiga peratus. Purata peratusan rizab air bagi seluruh Malaysia juga tidak mencukupi, tidak sampai lima peratus.

Cita-cita besar saya adalah untuk mewujudkan lebuh raya air. Kalau kita boleh buat lebuh raya bekalan paip gas dari Kerteh sampai ke Pelabuhan Klang untuk menyalurkan gas, mengapa kita tidak buat lebuh raya air? Dari Perlis sampai Johor, negeri-negeri yang mempunyai bekalan air banyak, mereka boleh membantu menyalurkan lebihan air kepada negeri memerlukan. Negeri yang perlukan air, mereka boleh beli dari negeri yang mempunyai lebihan air. Kosnya bilion, tetapi untuk jangka masa panjang, kita perlukan lebuh raya air.

Selain itu, isu air turut berkenaan tarif yang tidak naik sejak 38 tahun lalu. Kerajaan PN sudah buat keputusan, kita tidak akan bebankan rakyat waktu rakyat tengah susah. Sebab itu kita tidak akan naikkan tarif air walaupun kita tahu operator air berdepan masalah.

Bagaimana Datuk melihat masa hadapan politik Pas yang kini dilihat semakin matang berpolitik sejak terlibat dalam kerajaan berbanding dahulu apabila parti itu dianggap keras?

Saya tengok, Pas sudah 60 tahun sebagai pembangkang. Imej kita memang kena seranglah setiap hari. Kalau main gasing, kena pangkah. Pada halnya, kita memerintah Kelantan selama 30 tahun. Yang kita bina, kita bina yang sepatutnya, tetapi kerana status kita pembangkang, perkara itu tidak diuar-uarkan. Sekarang bila kita dalam kerajaan, sebenarnya apa yang kita buat di Kelantan dan Terengganu, itulah yang kita buat dalam kerajaan Persekutuan sekarang.

Cuma dahulu berstatus pembangkang. Bila jadi pembangkang ini, kita buat baik pun tidak akan diangkat. Salah sedikit sahaja, kalau ada sampah sedikit terus dapat liputan tidak baik. Persepsi dibina pada waktu itu. Justeru, bila kita berada di kerajaan pusat, baru orang nampak lain sekarang. Sebenarnya dahulu sama, tetapi tidak diuar-uarkan kerana Pas adalah kerajaan pembangkang.

Sekarang, bila kita jadi kerajaan, media-media pun banyak yang bantu beri liputan. Kalau tengok pendekatan Allahyarham Nik Aziz di Kelantan, orang puji, tetapi waktu itu beliau sudah tiada. Waktu beliau masih hidup, jenuh 'ditembak'.

Harapan untuk masa hadapan, saya tengok suatu hari nanti orang akan kenal siapa Pas yang sebenar. Dahulu digambarkan dengan pelbagai persepsi, sekarang ini mereka akan lebih terbuka.

Cuma ada juga persepsi yang mempersoalkan pemimpin dalam kalangan ustaz dan golongan agama diberi tanggungjawab memegang jawatan kementerian yang bukan berkaitan agama Islam. Sedangkan pemimpin dari profesion lain memegang jawatan tidak berkaitan dengan pekerjaan mereka, tidak mengapa.

Contoh, doktor gigi jadi Menteri Pelajaran, boleh pula, tetapi kalau ustaz-ustaz, digambarkan hanya kerja berzikir, buat masjid setiap hari. Dahulu, Datuk Takiyuddin Hassan pegang portfolio Menteri Undang-undang dalam Parlimen, orang boleh tengok. Bila Datuk Khairuddin Razali memegang portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, orang boleh nampak kemampuan pemimpin Pas.

Konsep kita, ilmu agama ini asas semua orang. Tidak kira jurutera, peguam atau doktor, ini asas mereka. Jadi, bidang yang hendak diterokai, pergilah pohon. Kita mahu seorang jurutera tetapi juga merupakan huffaz al-Quran. Jadi masyarakat mula lebih terbuka dalam mengenali ahli Pas terutama dalam kalangan generasi muda.