Biarpun mengalami kecederaan tangan setelah mengalami kemalangan pada sesi kelayakan kedua, bagi Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno semalam, pelumba MotoGP Petronas Yamaha SRT, Khairul Idham Pawi tetap berharap dapat meneruskan perlumbaan hari ini.
Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP berkata, kecederaan tangan kanannya itu diharap tidak serius bagi membolehkannya untuk meneruskan perlumbaan hari ini.
Menurutnya, agak malang sekiranya dia tidak mampu meneruskan perlumbaan hari ini berikutan prestasi baik yang ditunjukkan dalam dua sesi kelayakan sejak Jumaat lalu.
"Saya kurang bernasib baik kali ini apabila mengalami kemalangan dan seterusnya cedera tangan kanan pada sesi kelayakan kedua, semalam.
"Bagaimanapun saya akan tetap berharap agar kecederaan ini tidak serius dan saya mampu meneruskan perlumbaan hari ini, di tambah dengan prestasi baik pasukan ketika ini," katanya.
Dalam pada itu rakan sepasukannya John McPhee berkata, dia berada dalam keadaan dan mood yang baik untuk berlumba hari ini.
Katanya, dia akan cuba memberikan fokus pada perlumbaan dan berharap dapat mengharungi satu perlumbaan yang baik hari ini untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaiannya pada GP Andalusia sebelum ini.
"Saya berharap dapat memberikan yang terbaik pada perlumbaan ini.
"Saya juga semakin serasi dengan jentera saya dan berharap ia mampu membantu saya untuk mencatatkan kejayaan kali ini.