SHAH ALAM - Pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali bukan sahaja satu kehilangan besar kepada dunia pemberitaan dan penulisan malah pemergiannya turut dirasai rakan seperjuangan.
Berkongsi mengenai keperibadian Allahyarham, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya menggambarkan Abd Jalil seorang yang suka berjenaka dan berbakat besar dalam dunia penulisan.
"Banyak pengalaman pahit manis yang kami kongsikan, lebih-lebih lagi saya dan arwah pernah tinggal serumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur sewaktu bekerja di Utusan Malaysia, lebih 40 tahun lalu.
"Allahyarham seorang yang mudah didekati, suka berjenaka. Dalam dunia penulisan pula, memang arwah seorang yang sangat berbakat bukan sahaja dalam penulisan berita, naratif dan fiksyen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau menganggap Abd Jalil bukan sahaja seorang rakan karib malah sahabat istimewa kerana sudah terlalu lama mengenali Allahyarham.
"Selepas sama-sama berhenti dari Utusan Malaysia, kami sekali lagi bekerja di bawah satu bumbung ketika di Suara Rakyat sebelum akhbar itu ditutup.
"Walaupun masing-masing membawa haluan sendiri namun persahabatan kami tidak terhenti di situ. Kami sering berhubung dan bertanya khabar melalui telefon dan kali terakhir kami berbual tiga minggu lalu.
"Walaupun masih lemah kerana ketika itu arwah sedang menjalani transfusi darah di Hospital Shah Alam tetapi arwah masih lagi melayan panggilan saya," katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Sinar Karangkraf, Hashim Anang berkata, hubungan beliau dengan Allahyarham ibarat adik-beradik.
"Menjadi satu kemestian setiap kali pulang beraya di Johor, saya sekeluarga akan singgah beraya di kampung arwah. Kami sekeluarga juga memang rapat dengan keluarga arwah, dah macam adik-beradik.
"Secara peribadinya saya telah lama mengenali arwah dan amat menghormati beliau. Allahyarham bukan sahaja mentor dalam dunia penulisan, beliau juga menjadi tempat berkongsi masalah serta nasihat. Dalam kalangan rakan sekerja, arwah sememangnya sangat disenangi dan suka berjenaka, susah nak tengok arwah serius," katanya.
Menurutnya, walaupun kesihatan tidak menentu, Allahyarham masih lagi komited dengan kerja serta tanggungjawabnya sebagai Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian.
"Kali terakhir saya berjumpa arwah dua minggu lalu di pejabat. Walaupun kesihatannya tidak mengizinkan, arwah masih lagi aktif menulis di kolum di Sinar Harian.
"Saya pasti ramai lagi yang turut berkongsi rasa keakraban yang murni ini,” katanya sayu.
Jenazah Allahyarham Abd Jalil dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 selepas Asar, petang ini.