PELUMBA Moto2 Petronas Yamaha SRT, Jake Dixon menetapkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Republik Czech hari ini dalam kelompok 10 pelumba terbaik.
Katanya, sasaran itu dibuat berikutan dengan catatan masa yang dicatatkan pada sesi kelayakan kedua semalam agak kurang memberangsangkan dipercayai berpunca daripada penggunaan tayar baharu pada jenteranya.
Bagaimanapun menurut Dixon, dia tetap berbangga kerana mampu menamatkan perlumbaan berkenaan dengan mencatatkan masa yang baik.
"Penggunaan tayar baharu kali ini memang banyak mengubah tunggangan, namun saya bangga kerana masih dapat mencatatkan masa yang baik pada sesi kelayakan ini.
"Apa yang saya perhatikan, tayar kali ini agak kurang daripada segi cengkamannya hingga menyebabkan saya melakukan beberapa kesilapan termasuk hampir terbabas ketika melalui selekoh.
"Apa pun, saya harap rasa saya akan mampu mengharungi perlumbaan hari ini dengan baik dan seterusnya mencapai sasaran menamatkan perlumbaan pada kedudukan 10 terbaik dan jika ia berjaya dilakukan, ia adalah petanda baik untuk GP seterusnya di Austria,” katanya.
Sasaran itu turut dipersetujui oleh rakan sepasukan Xavi Vierge yang turut berharap dapat menamatkan perlumbaan hari ini dalam kelompok 10 pelumba terbaik.
Katanya, perlumbaan ini juga akan menjadi permulaan untuk dirinya kembali untuk melakukan yang terbaik dalam usaha mencipta kejayaan.
"Apa yang perlu dilakukan pada perlumbaan hari ini adalah mengelak melakukan kesilapan. Sebenarnya, ia sesuatu yang baik kerana kita mampu melepasi kelayakan dengan catatan masa yang agak baik.
"Saya juga gembira dengan prestasi jentera saya dan berterima kasih kepada kakitangan teknikal atas usaha mereka, saya dapat menggunakan jentera yang baik kali ini,” katanya.