LIPIS - Jentera parti politik perlu menghormati peraturan pilihan raya dan menjaga adab dan tatasusila ketika menjalankan aktiviti berkempen secara bersih dan profesional.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata adab seharusnya diutamakan bukan sahaja oleh setiap calon, ahli politik tetapi juga penyokong parti yang bertanding.
"Saya harap bahawa apa yang dilakukan ini cuba untuk mengganggu proses meraih undi ini tidak akan diulangi. Ini yang saya sebut jagalah adab kita. Harap kita jagalah adab,” katanya selepas ceramah perdana Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1, tengah malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penasihat DAP, yang juga ayahnya, Lim Kit Siang disindir oleh beberapa lelaki semasa berkempen di sebuah restoran di hotel dekat Brinchang, Cameron Highlands.
Menurut Lim, meskipun beliau akui, pihaknya ada mengkritik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak namun, tidak sekalipun pihaknya bertindak kasar ketika Anggota Parlimen Pekan itu hadir berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands itu.
Katanya, pemimpin yang hadir berhak diberikan ruang untuk mengeluarkan hujah masing-masing dan masyarakat berhak untuk membuat pilihan dan keputusan.
Justeru, beliau amat berharap supaya amalan sihat ketika pilihan raya dapat diteruskan dan tindakan agresif dapat dikekang pada masa depan.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu ini menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu antara calon PH dari DAP, M.Manogaran, BN diwakili Ramli Mohd Noor dan dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib. - Bernama