Pendaftaran pandu lalu di UMP

Iklan
Urusetia UPM mengambil suhu penuntut Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 di UMP Gambang.

KUANTAN - Seramai 822 penuntut Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendaftar secara pandu lalu di pusat pengajian tinggi berkenaan semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, sesi pendaftaran dalam normal baharu itu bagi mengekang penularan wabak koronovirus (Covid-19) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesi pertama pendaftaran diadakan pada 1 Ogos lalu membabitkan seramai 252 penuntut dan selebihnya 570 penuntut semalam.

"Semua penuntut sudah membuat pengesahan dan pendaftaran secara dalam talian pada 20 hingga 25 Julai lalu.

Iklan

"Saya berpuas hati dengan perjalanan proses pendaftaran Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 UMP kampus Gambang kali ini, kerjasama semua pihak melancarkan perjalanan proses terbabit," katanya yang turut memantau proses pendaftaran itu.

Dr Yuserrie berkata, selepas selesai urusan pendaftaran, penuntut akan dihantar ke asrama tanpa perlu dibantu keluarga.

Iklan

Jelasnya, pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan pembasmi kuman (hand sanitizer) sentiasa diberi perhatian bagi mengelak sebarang kemungkinan.

Bagi pasangan kembar Muhammad Nur Mirza Mat Hassan dan Muhammad Nur Izzat, 18, impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi menjadi kenyataan apabila terpilih ke UMP.

Muhammad Nur Mirza berkata, mereka bersyukur apabila terpilih belajar di UMP dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dan peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menunaikan harapan keluarga.

"Selepas mencatat keputusan 5A peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, impian utama ialah belajar di UMP yang terkenal dengan pencapaian penuntutnya sebelum ini," katanya.