ALOR SETAR – Seramai 20 bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar menyertai Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya 2020 bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 tahun ini.
Ketua konvoi yang juga Alumni Batch 90 Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca), Ahmad Zahir Hamzah, 46, berkata, konvoi bermotosikal itu memasuki tahun keempat.
Menurutnya, konvoi kali ini turut membabitkan bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid dari seluruh negara serta turut disertai dua bekas guru, Shafferi Rejab, 64, dan Mazlan Abdullah, 62.
"Aktiviti Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya 2020 ini bermula pada 19 Ogos sehingga 23 Ogos.
"Selain menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan, kami juga akan singgah dan melawat bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid dan menyampaikan sumbangan kepada yang kurang bernasib baik sepanjang perjalanan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran yang disempurnakan Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid, Yusri Bappu di pekarangan kolej tersebut semalam.
Ahmad Zahir berkata, konvoi turut singgah di beberapa lokasi termasuk Ipoh di Perak, Marang (Terengganu), Pengkalan Balak (Melaka) dan Genting Highlands (Pahang).
Sementara itu, Yusri berkata, usaha yang dilakukan oleh Sahoca terus mengeratkan hubungan bekas pelajar dan kolej tersebut walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan.
Jelasnya, kolej yang berusia lebih 100 tahun itu berjaya melahirkan ramai pemimpin di peringkat negeri dan negara selain menjadi contoh kepada generasi dan pelajar baharu di kolej tersebut.
"Sekolah ini berpegang kepada motonya iaitu ‘Scholar, Sportman dan Gentleman’ yang mana gabungan ini telah melahirkan pelajar serta alumni terbangun dari segi minda, emosi dan fizikal mereka," katanya.
Bagi peserta paling veretan, Shafferi memberitahu sudah bersedia menerima pelawaan bekas pelajarnya dengan meningkatkan stamina seperti melakukan senaman dan joging pada hari-hari tertentu.
"Hubungan kami guru-guru pada masa itu seperti anak dengan ibu bapa. Saya sebelum ini sebagai guru sukan ragbi dan sebahagian besar pelajar mewakili negara dan juga negeri. Sebab itu hubungan tersebut kekal hingga hari ini,” katanya.