PENGENDALI Barcelona, Quique Setien percaya pemain bintang kelab itu Lionel Messi yang mengalami kecederaan ketika membantu gergasi La Liga itu mengatasi Napoli akan kembali cergas menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Estadio da Luz, Lisbon.
Menurut Setien, penyerang Barcelona itu memainkan peranan penting ketika memacu semangat pemain tuan rumah semasa melayan kunjungan gergasi Serie A berkenaan.
"Secara jujur pada awalnya kami sedikit bimbang ketika melihat bagaimana insiden yang menimpa Messi setelah dikasari Kalidou Koulibaly.
"Messi mendapat asakan yang kuat, tapi kami kembali berlapang dada apabila dia kelihatan tenang meneruskan perlawanan selepas menerima rawatan.
"Dia bermungkinan memerlukan rawatan susulan daripada pegawai perubatan kelab, tetapi saya percaya itu tidak akan mengganggu persiapan kami berdepan Bayern Munich,” katanya.
Gergasi Bundesliga itu mara ke suku akhir selepas membelasah Chelsea 7-1 secara agregat pada pusingan 16 kelmarin.
Awal pagi tadi pada aksi Camp Nou, gol jaringan Clement Lenglet, Messi dan Luis Suarez manakala Lorenzo Insigne mengurangkan defisit pelawat sekali gus membolehkan Barcelona mengatasi Napoli 3-1 untuk kemenangan agregat 4-2.
Kedua-dua jagoan Sepanyol dan Jerman itu akan berentap Lisbon, dengan pemenangnya akan berhadapan dengan pemenang aksi Manchester City dan Lyon.
Mengenai juara Bundesliga kendalian Hans Dieter, Setien menjangkakan perlawanan melibatkan dua kuasa bola sepak itu akan berlangsung dengan cukup sengit dan menarik.
"Pada peringkat Eropah, Bayern bukanlah pesaing yang asing terutama apabila berada pada fasa kalah mati ini sememangnya semua mengetahui bahawa mereka merupakan kelab berstatus juara berganda liga Jerman.
"Mereka mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara dengan momentum cukup positif ditambah dengan jumlah margin gol cukup besar ke atas lawan mereka sebelum ini.
"Biarpun begitu pemain Barcelona tidak akan memberikan laluan mudah, sebaliknya akan memberikan tentangan luar biasa sekali gus menjadikan perlawanan ini sebagai sesuatu yang diingati oleh semua,” katanya.