RAWANG - Seorang wanita warga Indonesia yang juga ibu kepada Nur Aliya Maisarah Abdullah, 6, dicari untuk urusan dokumentasi bagi memudahkan proses pendaftaran persekolahan kanak-kanak perempuan itu.
Siti Rahayah Kadiman, 59 berkata, anak angkatnya itu diserahkan kepadanya ketika berusia sebulan.
Menurutnya, ibu kanak-kanak itu, Fitria Lestari, 34 dikenalinya melalui seorang kenalan dan kali terakhir bertemu wanita itu pada 2014, di rumahnya di Kampung Melayu Batu 16 Rawang.
"Sebulan selepas bersalin, ibunya datang ke rumah kami dan menyerahkan Nur Aliya Maisarah serta surat beranaknya kerana menghadapi masalah kewangan dan hidup susah.
"Ketika itu ibunya berusia 28 tahun dan sementara status bapa Nur Aliya Maisarah tidak kami ketahui," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Katanya, tujuannya mencari ibu kandung kepada anak angkatnya itu juga bagi tujuan melengkapkan dokumen permohonan mendapatkan kerakyatan.
"Ibunya pernah menghubungi kami untuk berjumpa tapi ketika itu kami berada di kampung. Selepas itu kami ada cuba menghubunginya tetapi nombor telefonnya sudah tidak aktif.
"Berkemungkinan Fitria kini bekerja sebagai pelayan kedai makan di Pandan Indah Kuala Lumpur namun usaha kami mencarinya tidak berhasil," katanya.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berhubung wanita berkenaan atau warisnya boleh menghubunginya di talian 018-9685121 atau anaknya, Nor Amal Hayati Amzah 018-4078854.