SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendakwa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) mengancam kedaulatan Malaysia menerusi pemaksaan model ekonomi dan standard buruh asing.
Menurut laporan portal berita FMT, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, firma Malaysia bukanlah penerima manfaat utama langkah meratifikasi perjanjian, sebaliknya ia memberi kelebihan kepada syarikat antarabangsa besar yang mempunyai akses kepada perolehan kerajaan dan pasaran tempatan.
"Syarikat antarabangsa ini juga akan diberikan hak untuk mengheret kerajaan ke mahkamah khas sekiranya mereka menganggap kerajaan tidak mematuhi terma CPTPP.
"Mereka boleh menuntut pampasan daripada kerajaan yang mungkin berjumlah ratusan juta ringgit. Selain itu, wujud kebimbangan berkait hak harta intelek serta status syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya hari ini.
Beliau berkata, terdapat perjanjian perdagangan dua hala sedia ada dengan negara lain yang turut terlibat dalam rundingan CPTPP dengan terma yang lebih memberi manfaat kepada perdagangan bebas dan pelaburan di Malaysia.
"MEF percaya Malaysia tidak harus meratifikasi CPTPP. Walaupun Malaysia telah menandatangani CPTPP, namun ia bebas untuk tidak meratifikasi perjanjian itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak dirundingi semasa perundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) sebelum ini dan berhubung komitmen Putrajaya terhadap Pelan Konsisten Buruh dengan Amerika Syarikat pada 2015.
"Rundingan ini sebaliknya diselubungi kerahsiaan tanpa ketelusan atau pemakluman awam mengenai analisis kos-faedah TPPA dan CPTPP,” katanya.
Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) sebelum ini menggesa Putrajaya supaya tidak meratifikasi perjanjian itu kerana dikatakan mengancam hak pekerja dan mendedahkan pekerjaan kepada risiko.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, CPTPP memberi ruang kepada negara anggota untuk membatalkan undang-undang mengenai hak dan kebajikan pekerja atas nama mengurangkan halangan tarif dan menjuarai perdagangan bebas.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bertikam lidah di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung perjanjian tersebut selepas Mohamed Azmin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk meratifikasinya.
Guan Eng bagaimanapun membantah dan menegaskan bahawa Kabinet PH tidak bersetuju untuk meratifikasi CPTPP kerana tidak mahu orang asing campur tangan dalam dasar perdagangan Malaysia.