KUALA TERENGGANU - Kerajaan mengambil langkah mengatasi masalah muara cetek di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering yang berlaku akibat mendapan pasir sehingga mengakibatkan jumlah pendaratan ikan di situ semakin merosot.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, masalah itu dijangka selesai sekiranya kerja-kerja tambakan bagi projek hakisan di Pantai Rusila, Marang dimulakan segera.
Beliau berkata, kajian akan dibuat memandangkan projek tambakan Pantai Rusila seluas 50 meter (m) lebar dan tiga kilometer (km) panjang itu memerlukan antara 800 hingga satu juta kubik meter pasir.
"Kita jangka sumber utama pasir yang akan dapat mengoptimumkan tambakan di Pantai Rusila boleh dilaksanakan menerusi kaedah mengorek pasir dari pelabuhan LKIM Chendering sekali gus dapat mendalamkan lagi kawasan itu.
"Bagaimanapun, kajian akan dibuat mengenai jumlah pasir yang kita perlu keluarkan untuk projek pemulihan di pelabuhan ini,” katanya ketika ditemui media di pelabuhan itu sempena lawatan kerja ke Terengganu semalam.
Che Abdullah berkata, pelabuhan berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar harbour basin (kawasan bot berlabuh) yang mula beroperasi pada 1983 itu merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2.
Katanya, jumlah pendaratan ikan di situ bertambah merosot sejak 2013 ekoran kebocoran benteng pemecah ombak dan mendapan yang menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke pelabuhan.
Beliau berkata, situasi itu menyebabkan lebih ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Tok Bali, Kelantan dan Kuantan, Pahang sekali gus menjejaskan aktiviti perniagaan lain.
"Sebelum ini pelabuhan ini pernah merekodkan sebanyak 13,682 tan metrik pendaratan ikan pada 2013 dan jumlah itu menurun kepada hanya 1,334 tan metrik tahun lalu.
"Saya harap inisiatif diambil bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rusila dan mendalamkan kawasan pelabuhan ini dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM15 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Rusila, sejak beberapa tahun lalu.