[LAPORAN KHAS] UMURNYA pada tahun ini baru mencecah 12 tahun namun tiada siapa sangka, dia merupakan seorang jutawan hasil titik peluhnya sendiri.
Berbeza dengan kebanyakan kanak-kanak lain, Alyssa Dezek ialah seorang kanak-kanak yang memiliki bakat besar dalam dunia hiburan tanah air, terus mengorak langkah mengumpul harta kekayaan sehingga menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Alyssa yang lahir pada 21 April 2008 mula dikenali pada usia empat tahun melalui video comelnya yang tular bermain ukulele.Video itu bukan sahaja tular di Malaysia malah ke negara jiran antaranya Singapura, Indonesia dan Brunei.
Video tersebut dimuat naik oleh ibunya, Suzanne Dezek, dalam akaun YouTube milik Alyssa yang kini memiliki lebih 3.22 juta pengikut.
Bahkan Alyssa kini merupakan individu solo negara yang merekodkan jumlah pengikut tertinggi di YouTube.
Berdasarkan socialblade.com, laman web yang mengukur statistik dan pencapaian pengguna media sosial di seluruh dunia, Alyssa yang berada di tangga ke-10 secara keseluruhan dalam ranking saluran YouTube di Malaysia, dianggarkan meraih pendapatan antara RM32,000 dan RM500,000 sebulan.
Pendapatan yang dianggarkan setinggi itu buat Alyssa yang masih muda sudah tentu menjadi pemangkin buat kanak-kanak lain untuk mengikuti jejak langkahnya.Suzanne dalam temu bual dengan Sinar Harian baru-baru ini menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang ditempa oleh anaknya itu.
Katanya, perkongsian video pertama Alyssa di YouTube iaitu ketika anaknya bermain ukulele hanya dibuat secara suka-suka, namun video itu tular sehingga Alyssa mula dikenali ramai.
"Saya hanya kongsi apa yang Alysaa minat. Saya tidak jangka penerimaan orang luar seperti ini. Mereka menyokong Alyssa. Bila orang kata Alyssa sudah jadi jutawan, saya aminkan sahaja dan saya terus berdoa anak saya akan mendapat lebih lagi.
"Alhamdulillah juga sekarang ini lagunya, Lagu Untuk Kamu sudah ditonton lebih 77 juta. Jadi kami rasa sangat bersyukur. Bulan September nanti pula Alyssa akan keluarkan single baharu,” katanya.Mengakui menerima kecaman daripada netizen, Suzanne tidak cepat melatah walaupun dituduh mempergunakan anaknya bagi meraih pendapatan.
Sebaliknya, menurut Suzanne, apa yang dilakukan olehnya hanya kerana bakat dan minat Alyssa yang dipamerkan sejak kecil lagi.
"Sebagai contoh sewaktu Alyssa membeli kereta Toyota Vellfire baru-baru ini. Ramai yang mengata bahawa saya dan suami mempergunakan Alyssa. Tetapi orang tak tahu bahawa semua itu adalah keinginan Alyssa sendiri,” katanya.
Bahkan, katanya, suasana kehidupan kanak-kanak pada hari ini berbeza dengan kehidupan kanak-kanak masa lalu.
"Sekarang zaman 2020. Zaman kita tidak sama dengan zaman sekarang. Dulu-dulu kita main guli dan sebagainya. Itu dulu. Sekarang sudah berbeza,” katanya.
Walaupun tidak mendedahkan pendapatan sebenar Alyssa, bagaimanapun Suzanne mengakui pada awal-awal penglibatan, anaknya itu boleh memperoleh lebih RM10,00 sebulan.
Yang pasti, dengan Job Street Malaysia melaporkan purata gaji seorang ketua pegawai eksekutif di Malaysia sekitar RM13,300 sebulan, hari ini pendapatan bulanan yang diperoleh Alyssa dianggarkan beberapa kali ganda gaji seorang CEO.
INFO: Top 10 akaun YouTube di Malaysia
Senarai Top 10 akaun YouTube di Malaysia
1. Les’ Copaque Production - 10.8 juta pengikut
2. Monsta - 5.91 juta pengikut
3. PlataBush - 4.74 juta pengikut
4. Didi & Friend - 4.15 juta pengikut
5. TV3 - 3.78 juta pengikut
6. Omar & Hana - 3.57 juta pengikut
7. Alyssa Dezek - 3.25 juta pengikut
8. Alieff Irfan - 2.75 juta pengikut
9. Astro Gempak - 2.71 juta pengikut
10. Jordan Yeoh Fitness - 2.68 juta pengikut
Sumber: socialblade.com