Meminjam taji Datuk Jalil Ali

Iklan
Gambar kenangan N Syamsuddin bersama Allahyarham Abd Jalil.

Beberapa saat saya tersentak. Saya ulang baca mesej yang dikirim hos veteran TV1 Malaysia, Sabaruddin Ahmad Sabri dan hantaran M Nasir Yusoff, wartawan senior Bernama.

Mesej dua pengurus Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) itu membawa khabar duka. Datuk Abd Jalil Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Sunway, Malaysia.

Iklan
Iklan

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semestinya berasa sangat kehilangan dengan pulangnya Allahyarham ke pangkuan Ilahi. Tiga dekad Pengerusi Kumpulan Karangkraf itu bekerjasama dengan Allahyarham.

Dua tahun terakhir ini walaupun Allahyarham sudah mengakhiri kariernya sebagai wartawan dan penulis selama 47 tahun, namun Allahyarham tidak pernah mengabaikan tanggungjawab di syarikatnya itu.

Iklan

Dua tahun lalu, bersama Presiden Iswami Indonesia, Asro Kamal Rokan, kami membawa wartawan Indonesia berkunjung ke kompleks ibu pejabat Karangkraf di Shah Alam.

Allahyarham Abd Jalil yang juga Profesor Adjung di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu mengajak saya ke pejabat yayasan itu.

Iklan

Lantas kami ke masjid untuk solat Zuhur. Selepas itu, sambil makan tengah hari, seperti biasa, Allahyarham berjenaka:"Saya tengok Pak Sem bertambah hensem. Cam bujang nak meminang dara,” usik Allahyarham, suami kepada Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan.

Tak akan hilang daripada ingatan jenaka, senyum dan lontaran pandangan bercahaya Allahyarham yang meninggal dunia kerana sakit buah pinggang.

Di luar perjumpaan rasmi dunia kewartawanan, saya sering mempermudahkan pertemuan pelbagai kumpulan dua negara seperti dalam lawatan Persatuan Usaha Memajukan Anak Bangsa (UMA), saya selalu bertemu dengan Allahyarham. Dan seperti biasa, kami saling bergurau semasa perbualan serius.

Ekspresi peribadi Allahyarham cerdas, berterus terang, tangkas selain jenaka juga tampak dalam tulisan kolumnya (Dari Menara KL) dalam akhbar Sinar Harian.

Allahyarham ialah kolumnis tersohor dan kritis di Malaysia, yang nampak bijak dengan penampilan yang selalu ceria, rapi dan cool dengan rambut serta misai warna keperakan yang menghiasi sosok badannya.

Jenaka Melayu yang santai dan segar, mewarnai tulisan-tulisan kolumnya di Sinar Harian tanpa menyembunyikan tajinya. Itu sebabnya, saya tak segera menuliskan artikel mengenai kematian beliau sebaik sahaja mendengar beliau meninggal dunia di hospital pada masa pandemik koronavirus (Covid-19) ini.

Tulisan

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu, 8 Ogos 2020 jam 6.32 pagi – waktu Malaysia, selepas melafazkan kalimah ALLAH... ALLAH... ALLAH.

Proses pengurusan jenazah Allahyarham memakan masa agak lama kerana prosedur hospital ekoran perlu melalui proses ujian Covid-19 yang selesai sehingga jam 10 malam lebih, waktu tempatan di Malaysia.

Setelah semua proses dilalui, jenazah Allahyarham segera dibawa pulang untuk disolatkan di Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya dan selanjutnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.

Lamanya waktu proses pengurusan jenazah di hospital ekoran perlu melalui ujian Covid-19 itu mengingatkan saya kepada salah satu artikel di kolumnya bertajuk ‘Banyak boleh dipelajari dari hospital’. (Sinar Harian, 9 Januari 2020).

Dalam kolumnya itu, Allahyarham menulis, secara rutin setiap dua minggu – selama tiga bulan – Allahyarham mesti ke hospital kerajaan untuk ambil sampel darah, memeriksa jantung dan buah pinggang yang bermasalah.

Suatu ketika, Allahyarham memperoleh nombor giliran 8024. Ketika tiba jam 9 pagi, nombor 6205 baru dipanggil. Allahyarham berfikir, satu jam lagi gilirannya. Ternyata tidak. Nombor dipanggil berurutan. Nombor 8013, 8023 dan 8026 sudah dipanggil, tetapi nombor 8024 belum juga dipanggil.

Layanan di hospital kerajaan,"Terasa betul segalanya berjalan seperti siput. Tetapi harus terima hakikat bahawa itu hospital kerajaan. Seorang petugas melayan berpuluh pesakit.” Berbeza dengan hospital swasta, tapi rawatannya berbayar mencecah ribuan ringgit.

Di hospital kerajaan, duduk beberapa minit saja sudah dapat melihat pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan, wajah pesakit usia tua yang muram dengan 1001 macam masalah.

Allahyarham menasihati, bila mengalami hal sedemikian,"Jangan buang tenaga, bernafaslah seperti biasa.”

"Di tempat seperti ini tidak ada Dong Zong, juga tidak ada NGO pelampau kaum. Apa yang ada hanyalah kemanusiaan, keikhlasan dan keharmonian sejati,” tulisnya kemudian.

Allahyarham yang berasal dari Muar, Johor tidak pernah meninggalkan dunia kewartawanan dan literasi, selalu memberi peluang kepada khalayak ramai belajar daripada dirinya.

Allahyarham mengingatkan, seorang wartawan atau penulis Islam mesti berpandukan al-Quran dan sentiasa bertanggungjawab dengan cara, menjadikan kebenaran sebagai etika dalam profesion.

Menurut Allahyarham, pada era yang penuh dengan cabaran keduniaan, peranan utama penulis dan wartawan Islam adalah memberi informasi yang tepat kepada khalayak.

Ketika berbincang dengannya di kediaman Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Malaysia, kami berbincang serius tentang tanggungjawab wartawan Muslim. Terutama, kerana tanggungjawab penulis dan wartawan Muslim tidak hanya kepada manusia, tetapi juga kepada ALLAH SWT.

Sikap itu ditonjolkannya dalam salah satu kolumnya, bertajuk ‘Virus maut: Jangan sebar maklumat palsu’. (Sinar Harian, 30 Januari 2020).

Mengenai keadaan semasa di Malaysia yang sibuk dengan pelbagai tindakan politik praktikal – pragmatik dan mendorong media membuka ruang kepada munculnya banyak analisis politik, ‘tiba-tiba’ Allahyarham mengkritiknya dengan tajam tetapi secara berseloroh melalui kolumnya.

Saya suka dengan kolumnya bertajuk, ‘Kita terlalu ramai penganalisis politik!’ (Sinar Harian, 27 Februari 2020). Allahyarham menulis,"...Dari coffee house di hotel lima bintang hingga kedai mamak dan warung bawah pokok tepi longkang ada sahaja sang penganalisis.”

"Lebih baik mendengar sahaja, jangan cuba menghujah penganalisis profesional ini. Mereka tidak akan menerima apa juga hujah kita, sebab hujah mereka paling betul,” nasihat Allahyarham.

Malangnya, penganalisis sering terpesona dengan seorang tokoh pemimpin, yang cenderung kultus individu, taqlid buta."Hatta jika suruh cium kentut pemimpin itu pun dia sanggup sebab baginya kentut pemimpin pujaannya itu seharum kasturi,” tulis Allahyarham.

Datuk Abd Jalil Ali sudah berpulang menelusuri alam barzakh yang terang oleh amal kebajikan dan pencerahannya di dunia, menyusul sahabat-sahabatnya Tok Mat, Syaifulhadi, Tarman Azzam dan lain-lain.

Tinggal lagi kita yang masih harus menjaga konsistensi sikap dan idealisme profesional yang bertugas menguji kebenaran fakta, menjaga agar pena tak patah. Tak juga menggunakan kecerdasan diri wartawan untuk menggali perangkap fantasi, kerana terlalu banyak pemimpin yang gemar berfantasi tanpa visi.

Selamat pulang Profesor Datuk Abd Jalil Ali. Ratusan orang yang mengunjungi jenazahnya di hospital dan ketika pengebumian serta ucapan duka, membuktikan Allahyarham orang baik.

Kami pinjam taji Datuk Abd Jalil Ali untuk istiqamah menegakkan kebenaran dan berkhidmat; mengutamakan rakyat, bukan politik, mengharungi masa sulit infodemik.

*Catatan wartawan senior Indonesia, N Syamsuddin Ch Haesy menerusi portal berita AkarpadiNews.com