CAMERON HIGHLANDS - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak menghentikan kempen bermula tengah malam ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tempoh rasmi kempen akan tamat pada malam ini iaitu jam 11.59 malam.
"Semua parti dilarang membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi. SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.
"Tiada mana-mana pihak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan.
"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.
Sementara itu, Azhar yang ditemui media selepas melawat pusat semakan peti undi di Dewan SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata berpuas hati dengan persediaan SPR untuk hari pengundian esok.
"Seramai 811 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok. Manakala, sebanyak 29 pusat mengundi dan 86 saluran dibuka untuk tujuan pengundian.
"Manakala, seramai 31, 639 pengundi bakal mengundi esok," katanya.