Dia orang Jawa. Saya pun orang Jawa. Bezanya, dia boleh bertutur dalam bahasa ibundanya itu. Saya tidak boleh. Bukan tidak boleh langsung. Boleh sikit-sikit sahaja. Barangkali faktor keJawaan itu, tanpa disedari, membuat kami ngam berkawan.
Persahabatan itu menjadi lebih erat apabila semasa zaman bujang, kami tinggal serumah di 22 Jalan Enggang Selatan, Taman Keramat pada tahun 1974 dan 1975.
Kebetulan pula kami bekerja sebagai wartawan dengan syarikat akhbar yang sama antara 1973 hingga 1976.
Pada mula dengan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, kemudiannya dengan mingguan Suara Rakyat.
Apabila akhbar mingguan bebas terbitan Percetakan Surat itu diharamkan pada penghujung 1975, kami sama-sama bekerja dengan Amir Enterprise, menerbitkan majalah bulanan ehwal semasa, Sarina, majalah dwi bulanan, Kisah Cinta, bulanan wanita Keluarga dan mingguan Suara Merdeka.
Sekalipun saya kemudiannya menyertai Bahagian Melayu, Perkhidmatan Luar Negeri British Broadcasting Corporation (BBC) di Bush House, London, persahabatan kami berkekalan.
Dia yang dimaksudkan itu ialah Datuk Abdul Jalil Ali, sahabat saya yang meninggal dunia lepas Subuh semalam (pada 8 Ogos 2020) di Sunway Medical Centre, Bandar Sunway, Subang pada usia 66 tahun.
Apabila saya menerima mesej daripada Datuk Baharom Mahusin, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian pada jam 7.04 pagi mengenai berita duka pemergian Jalil, saya segera ke pusat perubatan Sunway untuk menziarahi jenazah Allahyarham.
Tetapi malangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana pihak berkuasa hospital tidak mengizinkan sesiapa menziarahi jenazah sehinggalah keputusan ujian Covid-19 diketahui.
Pegawai Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang kebetulan berada di sana memberitahu bahawa besar kemungkinan jenazah Jalil akan dibenarkan keluar selepas Asar.
Bagaimanapun jenazah hanya dibenarkan keluar pada jam 10.40 malam, lalu terus dibawa ke Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan, kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya.
Jawatan Allahyarham semasa dipanggil Ilahi adalah Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Karangkraf, penerbit, antara lain akhbar Sinar Harian. Sebelum itu, Allahyarham adalah Ketua Pengarang Kumpulannya.
Kali terakhir saya bercakap telefon dengan Allahyarham ialah pada pagi 23 Julai 2020 sewaktu saya minum pagi dengan Datuk Baharom, di sebuah restoran di Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur.
Saya memberitahu Datuk Baharom berasa pelik kerana beberapa panggilan telefon saya kepada Allahyarham tidak dijawab. Pesanan teks juga tidak dibalas.
Datuk Baharom segera menelefon Allahyarham dan panggilan itu dijawab dan saya sempat berbual sebentar dengannya.
"Aku di Hospital Shah Alam ini,” beliau memberitahu dengan suara yang agak lemah, kemudian menyambung:"tengah giliran untuk lakukan blood transfusion.”
Saya tanya mengapa dia hanya menjawab"aku tak berapa sihat.” Belum sempat yang bertanya lagi dia memberitahu ” kalau ada perkembangan nanti, aku maklumkan kepada Datuk Baharom untuk disampaikan kepada hang.”
Beraku dan berhang ini memang sudah jadi bahasa perbualan biasa antara saya dengan Jalil.
Persahabatan saya dengan Jalil Ali bermula pada 1973 apabila beliau menyertai Utusan Melayu sebagai pemberita kadet. Saya pula sudah hampir dua tahun berkhidmat di meja berita Utusan Malaysia ketika itu. Saya memulakan kerjaya sebagai pemberita pada 1 Jun 1971.
Oleh kerana kami sering diberi tugasan yang sama untuk diliputi, mewakili Utusan Melayu, sebuah harian Jawi dan Utusan Malaysia, sebuah harian tulisan rumi, kami segera menjadi rakan setugas yang baik.
Apabila kami duduk serumah, persahabatan itu menjadi makin akrab.
Apabila kami diajak oleh Subky Latif untuk mengasaskan Suara Rakyat, saya dan Jalil membuat keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Utusan Melayu.
Bukan kerana kami adalah masalah dengan Utusan. Kami sebenarnya selesa bekerja dengan Utusan.
Tetapi kami berhenti 24 jam kerana kami ingin membantu Subky memenuhi cita-citanya untuk menjadi Lord Thomson Malaysia iaitu menjadi seorang penerbit akhbar dengan pengaruh yang besar dalam politik Malaysia.
Kebetulan pula saya dan Jalil memang dengan Subky baik semasa kami berkhidmat di Utusan.
Justeru apabila Subky datang ke rumah kami di Taman Keramat pada satu malam pada awal 1975 mempelawa kami mengikutinya menubuhkan Suara Rakyat, kami berjanji untuk memikirkannya dengan serius.
Tidak dinafikan, pada mulanya kami agak keberatan kerana kami baru sahaja bekerja dengan Utusan. Nama kami pun sudah mula dikenali dalam khalayak akhbar-akhbar kami. Jalil memang seorang pemberita yang cepat belajar, selain penulis naratif dan fiksyen yang berbakat.
Tetapi apabila Subky singgah selang beberapa malam kemudian, bertanya keputusan kami, kami meminta beberapa hari lagi untuk menyatakan keputusan kami.
Selepas Subky pulang malam tersebut, saya dan Jalil berbahas mengenai hendak menolong Subky atau tidak.
"Jomlah kita tolong Subky,” saya berkata kepada Jalil. Beliau agak keberatan.
Saya memberitahunya,"kita masih bujang, tak de anak bini nak kita tanggung, jadi kita boleh sedikit adventurous dalam kehidupan kita. Kalau kita gagal dengan Suara Rakyat, maksudnya akhbar itu gulung tikar, kita boleh memohon kerja dengan akhbar-akhbar lain yang sudah established kerana kita ada pengalaman. Atau paling tidak kita sambung belajar di universiti.”
Kebetulan saya dan Jalil sudah memiliki sijil penuh Higher School Certificate (HSC) kelayakan asas yang diperlukan untuk kami ingin melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Akhirnya kami membuat keputusan untuk menyertai Suara Rakyat dan keesokannya kami berjumpa dengan Subky di pejabatnya yang terletak di tingkat bawah Wisma Hock Aun Jalan Haji Hussein di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Di sana selain Subky, kami juga berjumpa dengan Pak Harun Hassan yang bertindak sebagai Ketua Pengarang Suara Rakyat dan juga Pengarah Urusan syarikat Percetakan Surat, Mustaffa Ton.
Pak Harun juga menyakinkan kami untuk menyertai akhbar baharu yang hendak diasaskan.
"Suara Rakyat akan menjadi obor untuk menegakkan kebebasan berakhbar,” tegas Pak Harun cuba meyakinkan kami. Sebenarnya kami tidak perlu diyakinkan lagi kerana kami sudah membuat keputusan untuk berhenti.
Beliau menawarkan gaji RM600.00 sebulan iatu sekali ganda gaji kami di Utusan. Surat pelantikan dikeluarkan serta merta. Pak Harun juga memberi sebulan gaji secara tunai untuk dibayar kepada Utusan kerana kami memutuskan untuk berhenti dengan memberi notis 24 jam.
Dengan memandu kereta mini milik Subky Latif, maka kami ke Utusan untuk meletakkan jawatan dengan membayar gaji sebulan. Kemudian kami naik ke Jabatan Pengarang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan pemberita dan bos kami.
Mereka terkejut. Tapi prinsip kami adalah untuk meninggalkan Utusan dengan baik. Mana tahu satu hari nanti kita boleh menyertai semula Utusan.
Maka bermula 1 Mei 1975 kami menyertai Subky untuk melancarkan Suara Rakyat. Edisi pertama mingguan tersebut diterbitkan pada 20 September 1975. Akhbar dengan nombor permit KDN (Kementerian Dalam Negeri) 9046 itu dijual pada harga 30 sen.
Ia terbit setiap Sabtu, setebal 28 muka surat. Riwayat ringkas Suara Rakyat boleh dibaca dalam buku Hamedi Mohd Adnan (2015), berjudul 100 Akhbar Melayu pada halaman 190-192.
Saya diberi tanggungjawab untuk menulis perutusan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sebagai berita muka satunya dengan judul: HARAPAN PERDANA MENTERI. Dalam perutusan itu, Tun Abdul Razak antara lain berharap Suara Rakyat dapat:
"memainkan peranannya bagi menampung kehendak dan aspirasi negara... mengingatkan bahawa alam persuratkhabaran tidak harus dijadikan bidang melatih hanya pengkritik-pengkritik masyarakat semata-mata... pemberitaan yang berbentuk sensasi dan kurang bertanggungjawab mungkin meresap masuk dan perkara yang sedemikian perlulah diwasapadai pada setiap ketika. Memang tersangat mudah bagi sesiapa juga terpesona dan terbawa-bawa dengan corak pemberitaan yang sedemikian itu, tetapi dari segi nilai kewartawanan, ini adalah satu bentuk yang murah sekali.”
Subky sendiri nampaknya berpuas hati dengan prestasi saya, Jalil dan seorang lagi wartawan Utusan, Azeem Arash yang menyertai beliau di Suara Rakyat. Dalam buku berjududul Propogandis Zaman (2012), beliau antara lain menulis:
"Azeem, Chamil dan Jalil tidak ada pengalaman selain daripada mencari dan menulis berita. Di akhbar baru itu mereka terpaksa belajar membuat semuanya – daripada membuat berita dan rencana, menyunting, membaca pruf, menyusun layout muka dan sebagainya. Berita Azeem tidak perlu disunting, tetapi tulisan rencananya perlu diperkemas. Chamil seorang penulis rencana yang tajam dan kritis, menyaingi tulisan saya sendiri, seorang wartawan yang berpotensi besar. Jalil paling junior dari tiga itu tetapi begitu cepat menguasai seni layout wajah akhbar dan lain-lain aspek penerbitan akhbar.”
Sebagai sebuah akhbar anti-establishment, Suara Rakyat berkembang pantas. Menurut Hemidi (2015) semasa akhbar itu diharamkan pada penghujung 1975, edaranya adalah 40,000 naskah seminggu.
Di Universiti Malaya sahaja 600 naskah terjual seminggu oleh dua orang mahasiswa universiti tersebut. Mereka ialah seorang lagi sahabat serumah saya, Syed Dawilah Syed Idrus dan rakannya, Johan Jaaffar (kemudiannya Tan Sri).
Pengalaman kerja dengan Suara Rakyat menjadikan hubungan saya, Jalil dan Subky semakin akrab. Kami menganggap Subky sebagai mentor dan guru dalam bidang kewartawanan. Kami juga menganggap Subky sebagai sahabat.
Hal ini terbukti apabila Subky ingin mengadakan dating dengan seorang jururawat yang kemudiannya menjadi isterinya, beliau mengajak saya dan Jalil menemaninya. Jururawat di Hospital Besar Kuala Lumpur itu diperkenalkan kepada Subky oleh Suhami Mokhtar, pengarang berita Utusan Melayu yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan wanita itu.
"Saya tak biasa berdating. Jomlah temankan saya. Kamu pilih tempatnya di mana,” kata Subky kepada kami.
Kami mencadangkan sebuah restoran KFC di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tapi tentulah di restoran itu kami duduk di meja berasingan. Memberi peluang kepada Subky untuk berkenalan dengan jururawat tersebut. Mereka kemudian jatuh cinta dan membuat keputusan untuk berumahtangga.
Sekalipun setelah berkhidmat dengan BBC di London, mulai November 1976, hubungan saya dengan Jalil tidak terputus. Dari masa ke masa saya mengirim poskad atau menulis surat kepada beliau yang ketika itu sudah menjadi orang kanan Pak Harun Hassan. Subky dan Azeem masing-masing sudah meninggalkan Amir Enterprise.
Apabila saya kembali ke tahun air pada awal 1984, dan saya berkhidmat semula dengan Utusan Malaysia sebagai penulis rencana pengarang, Jalil yang ketika itu sudah menjadi Ketua Pengarang Amir Enterprise, adalah antara orang pertama saya pergi makan tengah hari.
Apabila Jalil berkhidmat dengan Kumpulan Karangkraf, juga sebagai Ketua Pengarang di Taman Tun Dr. Ismail dan saya pula berkhidmat dengan TV3 di Bandar Utama, kami lebih kerap bertemu, sama ada untuk minum pagi, makan tengah hari atau minum petang.
Ini kerana Bandar Utama dan Taman Tun adalah dua kejiranan yang dipisahkan oleh LDP.
Menariknya apabila Kumpulan Karangkraf ingin menerbitkan akhbar harian Sinar Harian pada awal 2006, Jalil meminta bantuan Malaysian Press Institute (MPI) untuk melatih barisan sidang pengarang akhbar yang dirancang itu.
Maka saya dan beberapa wartawan berpengalaman yang lain berkampung di Kota Bharu untuk memberi ceramah kepada pemberita muda Sinar Harian mengenai asas kewartawanan. Antara yang turut memberi ceramah adalah Baharom Mahusin yang ketika itu wartawan kanan di Utusan Malaysia.
Sinar Harian diterbitkan pada 31 Mac 2006 untuk edaran dan liputan Kelantan dan Terengganu, sebelum diperluaskan ke zon tengah meliputi Selangor dan Kuala Lumpur.
Nak dijadikan cerita 13 tahun kemudian, Baharom dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan/Kandungan Sinar Harian pada pertengahan 2019, selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai pengarang Kosmo!
Saya dan Jalil juga aktif dalam menggerakan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) selama tiga tahun antara 2010 hingga 2011. Saya adalah timbalan pengerusi ISWAMI manakala Jalil adalah naib pengerusi.
Tetapi pengerusi ISWAMI, Datuk Ahmad A Talib terlalu sibuk dengan tugasnya Pengarah Eksekutif Editorial di Media Prima Berhad (MPB), dan beliau melantik saya sebagai Pemangku Pengerusi.
Sepanjang tempoh itu dengan dibantu oleh setiausaha kerja ISWAMI, Sabaruddin Ahmad Sabri, serta barisan Majlis Pentadbiran yang lain, saya dan Jalil melaksanakan beberapa program bersama dengan ISWAMI Indonesia di Bandung, Padang, Lombok dan beberapa tempat yang lain.
ISWAMI mengadakan seminar ekonomi Malaysia Indonesia di Bandung yang turut disertai oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Husni Hanadzalah. Di Padang, kami menganjurkan pertemuan wartawan dan sasterawan Malaysia Indonesia yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim.
ISWAMI juga dilibatkan oleh ISWAMI Indonesia dalam acara tahunan Hari Pers Nasional anjuran Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) yang diadakan pada 9 Februari di pelbagai wilayah republik tersebut. Majlis tahunan itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, bermula dengan Tan Sri Rais Yatim, kemudian pengganti Rais, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan seterusnya Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Itulah serba ringkas coretan mengenai persahabatan saya dengan Allahyarham Abdul Jalil Ali.
Kami bermula di bawah satu bumbung dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita kadet di Utusan Melayu, kemudian melalui jalan berliku dan berbeza untuk sampai ke tahap tertinggi dalam kerjaya masing-masing sebagai peneraju ediorial – saya di TV3 sebagai pengarang urusan dan Jalil di Kumpulan Karangkraf sebagai Ketua Pengarang Kumpulan.
Sahabatku, moga kau tenang dan sejahtera di sisi Penciptamu di dunia satu lagi yang kekal abadi. Alfatihah. Amin.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI