Sukan permotoran diharap dapat menerima kemudahan-kemudahan sebagaimana dinikmati sukan teras lain walaupun tidak tergolong dalam kategori sukan itu.
Naib Presiden 1 Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Wazi Abdul Hamid berkata, antara kemudahan berkenaan adalah seperti kemudahan kawasan perlumbaan (trek), kemudahan kecergasan (gimnasium) dan sebagainya yang berkaitan dengan sukan permotoran.
Menurut legenda Cub Prix negara itu, pihaknya percaya kesemua kemudahan berkenaan dapat membantu penggiat sukan permotoran di seluruh negara untuk terus bergiat aktif pada masa hadapan.
"Sekarang ini pun pihak kerajaan telah banyak membina (mewujudkan) kawasan perlumbaan. Oleh itu, kita lihat ia sebagai satu usaha yang baik bagi membantu perkembangan sukan permotoran di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian semasa sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan PSBWPKL di Kompleks Sukan Kampung Pandan, kelmarin.
Mesyuarat agung berkenaan, turut menyaksikan pelantikan bekas pelumba MotoGP negara Shahrol Yuzy Ahmad Zaini sebagai Presiden PSBWPKL bagi sesi 2020/2022 kelak manakala bekas pelumba Cub Prix, Ahmad Fazli Sham sebagai timbalannya.
Wazi turut berharap untuk menambah ahli bagi PSBWPKL dengan membuka keahlian kepada ahli-ahli gabungan dalam usaha menarik lebih ahli khususnya daripada kumpulan-kumpulan permotoran khususnya di sekitar Kuala Lumpur menyertai PSBWPKL.
"Kita lihat ia sebagai satu mekanisme yang boleh diatur dan diaktifkan. Kita ni ahli bersekutu, ahli individu, tetapi bagi ahli gabungan kita akan buka kepada grup motor di luar sana kerana mereka ini kebanyakannya suka berlumba tetapi dengan cara yang tak betul, jadi kita nak mereka bersama kita.
Sementara itu, Wazi berkata, PSBWPKL juga merancang melakukan lawatan kerja ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat berhubung bagi melihat ruang dan peluang yang boleh diberikan kepada persatuan-persatuan sukan permotoran di negara ini untuk bergerak.
"Oleh itu mesyuarat kita yang pertama ini bolehlah diibaratkan sebagai satu kick off atau permulaan bagi semua perkara ini dan selain itu, kita juga dapat memanfaatkan peruntukan yang ada dalam sukan permotoran tetapi tidak diambil selama ini.
"Sebab itulah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini ada pelumba, bekas pelumba yang dah jual motor, jual jaket, helmet (topi keledar) dan sebagainya. Tetapi perkara ini tidak dihebahkan.
"Oleh itu bagi saya kita perlu bebuat sesuatu khususnya untuk memastikan pelumba yang masih berlumba dan bekas pelumba agar dapat meneruskan kesinambungan mereka dan menjadi lebih baik selepas ini. Perkara ini kita akan titikberatkan,” katanya.