Fahaman pluralisme bertapak di Malaysia

Iklan
Penganut daripada agama berbeza yang hadir ke program dianjurkan pertubuhan berkenaan. Foto: FB Firdaus Wong Wai Hung dan We Are All Firdaus Wong

SHAH ALAM - Aktiviti penyebaran fahaman pluralisme agama atau penerimaan agama-agama yang pelbagai kini dikesan kembali aktif di negara ini.

Hasil penyelidikan daripada unit kajian dan pembangunan Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendapati kini terdapat tidak kurang daripada 40 ajaran agama baharu dan kultus dari luar negara yang telah bertapak di Malaysia.

Iklan
Iklan

Presidennya, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung yang merupakan seorang pendakwah bebas berkata, berdasarkan kajian tersebut kumpulan-kumpulan ajaran agama itu telah menubuhkan persatuan dan bergerak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di samping menyebarkan fahaman mereka.

FIRDAUS

Beliau berkata, mereka juga memiliki banyak kerjasama yang erat di antara pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang lain dan saling menyokong di antara satu sama lain.

Iklan

Menurutnya, pemerhatian dilakukan pihaknya ke atas salah satu pertubuhan bermula sejak tahun 2018 setelah mendapati banyak program rentas agama dianjurkan seperti majlis berbuka puasa bersama penganut agama lain dan juga program interfaith dialogue.

Katanya, program sebegitu dianggap baik jika pengisiannya untuk saling mengenal dan mempelajari sedikit sebanyak kepelbagaian fahaman agama di dalam negara kita."Akan tetapi Islam memiliki batas dan batasan itu adalah kerana kemuliaan dan hakikat kebenaran itu tidak boleh dicemari dengan mana-mana unsur syirik dan bercanggah dengan akidah Islam.

Iklan

"Sebagai contoh, fahaman pluralisme yang memahami bahawa kebenaran itu tidak terletak kepada satu agama sahaja dan hal ini jelas bercanggah dengan al-Quran.

"Pemerhatian yang kami buat menunjukkan fahaman Pluralisme inilah yang sedang disebarkan oleh pertubuhan tersebut kepada masyarakat di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Kuil tersebut memiliki elemen beberapa agama seperti perkataan 'Amin (Islam), Aum (Hindu), Amen (Kristian)' dan turut memiliki simbol om shanti fahaman agama baru Brahma Kumaris serta patung-patung agama Hindu. Foto: FB Firdaus Wong Wai Hung dan We Are All Firdaus Wong

Terdahulu, Firdaus menerusi Facebook peribadi serta Facebook page beliau mendedahkan aktiviti pertubuhan itu yang dilihat mempromosikan persamaan bahawa semua agama adalah sama dan ia jelas bercanggah dengan akidah agama Islam.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, pertubuhan terbabit pada awalnya diasaskan oleh seorang individu pada tahun 1955 dan bangunan persatuan mereka dibina di Kuala Lumpur.Beliau berkata, setelah kematian individu terbabit pada tahun 1961, ia diganti dengan seorang wanita sehingga kini.

Menurutnya, akidah bagi kedua-dua tokoh berkenaan adalah berkiblatkan Hindu Batiniyah iaitu gerakan Ramakrishnan Mission daripada India.

"Menurut fahaman batiniyah Hindu, mereka memahami bahawa setiap manusia memiliki roh purba dikenali sebagai atman serta percaya apabila seseorang mencapai tahap tertinggi maka roh mereka itu akan bersatu dengan Brahman (Tuhan)."Daripada situ mereka juga mengimani konsep panteisme yang mengatakan semua kejadian alam ini memiliki zat Tuhan dan kesemuanya adalah Tuhan. Maka semua manusia hendaklah berbuat baik dan dengan itu ia akan membawa kepada bersatunya manusia dengan Tuhan."Fahaman ini dari sudut falsafah ia dikenali sebagai Perennial Philosophy dan Transcendent Unity yang mana dari sudut zahirnya manusia itu berbeza tetapi dari sudut batin, manusia tidak ada beza dan boleh mencapai kesatuan dengan Tuhan,” katanya.

Kuil mereka tersendiri yang dikenali sebaga Temple of the Universal Spirit yang seolah-olah memberi gambaran Kesejagatan Roh tidak mengira agama dan bangsa. Foto: FB Firdaus Wong Wai Hung dan We Are All Firdaus Wong

Firdaus berkata, oleh itu mana-mana penganut perlu mengamalkan beberapa perkara yang memiliki unsur batiniah yang berkaitan meningkatkan ‘kekuatan roh’ dengan bermeditasi serta menyebut mantera tertentu dan banyak lagi.

Fahaman ini, katanya, jelas bercanggah dengan Islam seperti yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 secara khusus berkaitan fahaman Pluralisme.Selain program interfaith dialogue, beliau berkata, pertubuhan itu juga mempunyai kuil mereka tersendiri yang dikenali sebagai Temple of the Universal Spirit seolah-olah memberi gambaran Kesejagatan Roh tidak mengira agama dan bangsa yang boleh dilakukan di sana.

Katanya, di dalam kuil tersebut memiliki elemen beberapa agama seperti perkataan Amin (Islam), Aum (Hindu), Amen (Kristian) dan turut memiliki simbol ‘om shanti’ fahaman agama baru Brahma Kumaris serta patung-patung agama Hindu.

Selain itu, beliau berkata, unsur pluralisme yang dianjurkan oleh pertubuhan itu juga dapat dilihat dalam program Spiritual Musical Night yang mana telah berjaya diadakan pada tahun 2016 dan 2018 di mana pengisian program itu adalah sebanyak enam penganut agama mempersembahkan nyanyian ketuhanan dan spiritual terdiri daripada wakil Islam, Kristian (Mormon), Hindu, Sikh, Baha'i, Buddha (Soka Gakkai) dan lain-lain."Program ini seolah-olah bentuk mempromosikan nilai ajaran agama masing-masing. Jika difikirkan, umat Islam yang menghadiri program itu akan dihidangkan dengan nyanyian keagamaan dari lima agama lain dan secara tidak langsung ia adalah cara halus menyebarkan doktrin agama asing kepada peserta Muslim selain dari fahaman pluralisme.

"Diharapkan pihak berwajib dapat memantau aktiviti-aktiviti yang memberi nilai yang bercanggah dengan fahaman agama Islam yang turut disebar kepada umat Islam.

"Umat Islam juga perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam program-program keagamaan yang melibatkan pertubuhan agama lain. Harus diingatkan banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan bersama untuk mencapai keharmonian antara agama,” katanya.

Siasat

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail ketika dihubungi Sinar Harian semalam memaklumkan pihaknya akan menyiasat berhubung dakwaan tersebut.

"Sehingga kini saya tidak menerima apa-apa laporan berhubung ajaran sesat ini, namun saya akan membuat semakan dengan Jabatan Penguatkuasaan Jawi.

"Sebarang perkembangan saya akan maklumkan,” katanya.