SocDem kritik penahanan ke atas Guan Eng

Iklan
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Jaringan Demokrasi Sosial di Asia (SocDem Asia) mengkritik penahanan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) kerana dikatakan ia didorong oleh tujuan politik.

SocDem dalam satu kenyataan berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan pemerintah untuk mendiamkan pembangkang yang demokratik.

Iklan
Iklan

"Kami bersolidariti dengan parti saudara kami DAP dalam memperjuangkan ketelusan, keadilan dan kemajuan untuk Malaysia. Penahanan Guan Eng berlaku pada petang hari Khamis, 6 Ogos berdasarkan kepada tuduhan yang serupa dengan tuduhan yang sebelum ini telah pun dibatalkan oleh badan kehakiman. Jelas bahawa penangkapan ini bersifat pendakwaan politik," katanya hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos lalu menahan Guan Eng ketika memberikan keterangan.

Iklan

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

SPRM dalam kenyataannya turut menjelaskan, Guan Eng juga akan didakwa pada 10 dan 11 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Iklan

Mengulas lanjut, SocDem berkata, kes tersebut merupakan usaha berterusan untuk melumpuhkan Pakatan Harapan (PH).

"Kami bimbang penangkapan pemimpin tinggi PH yang lain dilakukan dengan objektif untuk menjadikan pemimpin pembangkang tidak dapat bertanding pada pilihan raya yang dikhabarkan bakal berlangsung.

"Sekiranya usaha pihak berkuasa sekarang berhasil, segala reformasi yang telah diusahakan oleh pemerintah PH sebelum ini akan menjadi sia-sia. Mereka juga akan memastikan bahawa mana-mana kuasa politik yang tidak selaras dan sehaluan dengan mereka tidak akan kembali ke pemerintahan," katanya.

Jelasnya, amat menyedihkan apabila mandat yang diberikan oleh pengundi pada tahun 2018 bagi pemerintahan yang bersih, mencerminkan suara rakyat, dan dipilih secara demokratik telah digulingkan sejak rampasan kuasa oleh gabungan pemerintah yang ada sekarang.

"Kami menggesa rakyat Malaysia dan pembangkang demokratik untuk merapatkan barisan dan tetap waspada sebarang serangan terhadap kebebasan sivil.

"Lebih menyedihkan apabila tragedi ini berlaku kurang dari tiga tahun sejak rakyat Malaysia berjaya mengusir rejim korup bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari pejabat kerajaan. Pemerintah yang berkuasa kini jelas sekali tiada sebarang keraguan untuk meniru taktik pelecehan dan intimidasi politik yang sama dilakukan oleh kerajaan pimpinan UMNO yang korup," katanya.