JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan tiada pemimpin yang sempurna dalam parti termasuk UMNO jika benar isu kesempurnaan menjadi kemestian bagi seseorang pemimpin yang mahu diangkat sebagai Perdana Menteri.
Jelas beliau, setiap pemimpin mesti ada kekurangan serta kelebihan tersendiri dan kemampuan sebenar mereka untuk menjadi ketua hanya akan diketahui selepas diberikan amanah tersebut.
"Dalam UMNO sendiri pun ramai juga pemimpin ‘cacat’ tapi 'dipotretkan' sebagai pemimpin sempurna kerana mereka tidak dikenakan tuduhan berbaur politik.
"Malah DAP sekarang ini pun sedang sibuk membela Lim Guan Eng walaupun telah didakwa di mahkamah. Mereka seperti mahu menidakkan pendakwaan berbaur politik kerana mahu meraih simpati kaum menjelang PRU-15.
"Jadi, kalau kita mahu cari pemimpin yang sempurna daripada segenap segi, tunggu 100 tahun lagi pun tak ada dapat,” katanya hari ini.
Tambah Nur Jazlan, apa yang penting, kita mesti mengangkat pemimpin yang mempunyai kelebihan berbanding kekurangan terutama dari segi kewibawaan, amanah dan cekap mentadbir kerana selepas diberi peluang, barulah keupayaan sebenar seseorang pemimpin itu boleh dikesan.
Katanya lagi, persepsi rakyat terhadap integriti dan kredibiliti kini terarah kepada sesebuah parti bukan terhadap individu dalam parti sahaja.
"Rakyat sekarang ini mengaitkan isu kredibiliti dan integriti berdasarkan kepada parti yang diwakili oleh pemimpin itu. Sebab itulah wujud persepsi yang negatif terhadap parti dan bukannya individu itu.
"Perkara inilah yang kita perlu bersihkan biar rakyat tahu UMNO sudah berubah dan pemimpinnya juga sudah kembali mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.
Ditanya tentang pelantikan beliau sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling yang diterimanya semalam, Nur Jazlan berkata, ia adalah satu amanah yang akan dipikul sebaiknya.
Menurut beliau, DUN Perling berada dalam Parlimen Pulai yang pernah diwakilinya sejak tiga penggal lalu dan beliau akan memberikan khidmat terbaik bagi membantu rakyat di DUN berkenaan.
"Saya berterima kasih kepada Kerajaan Johor terutama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjadi Penyelaras DUN Perling," katanya.