Lima tahun gangguan bekalan air

Iklan
Mohd Noor (kanan) menunjukkan paip air yang tidak berfungsi akibat gangguan bekalan air di Masjid An-Nur di sini.
KUALA SANGLANG - Lebih 1,000 penduduk dalam mukim Sanglang di sini terjejas akibat gangguan bekalan air yang berlaku sejak kira-kira lima tahun yang lalu.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Tok Mengkula, Kampung Tepi Laut, Kampung Sungai Baru, dan Kampung Masjid.

Imam Masjid An-Nur Kuala Sanglang, Mohd Noor Mansor berkata, masalah bekalan air ini menganggu rutin harian mereka termasuk dalam melaksanakan ibadat.

Katanya, bagi memudahkan jemaah mengambil wuduk di masjid, mereka terpaksa memasang pam air untuk memastikan bekalan air tidak putus.

"Tapi guna pam pun ada hari air tak ada juga, malah dah banyak biji pam kami rosak macam tu saja.

"Kadang-kadang ada sukarelawan masjid yang terpaksa mai tadah air malam-malam sebab waktu malam saja yang ada air," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan air mereka kerap terganggu pada waktu siang hari dan kembali normal sekitar jam 12 hingga 6 pagi.

"Tapi kalau waktu malam pun terpaksa guna pam,kalau tak, tak keluar juga air.

"Macam di masjid ni saya harap pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) dapat bagi satu tong kat masjid dan buat jadual berkala untuk hantar air.

" Kadang-kadang kesian kat jemaah nak ambil wuduk pun susah," katanya.

Berjaga setiap malam tadah air

Sementara itu, seorang penduduk, Mat Rayani Razi, 57, berkata, ketika berpindah ke Kampung Masjid pada 2012 yang lalu, dia agak terkejut apabila terpaksa berhadapan dengan masalah air.

"Dulu masa saya duduk Perak, tak pernah lagi hadapi situasi macam ini.

"Ini sampaikan pernah pada hari raya pun air tak ada sampai seminggu.Terkejut betul kami, tak pernah-pernah sambut raya macam tu. Kesian kat anak cucu saya," katanya.

Menurutnya dia terpaksa berjaga pada setiap malam untuk menadah air dalam tangki simpanan yang dibeli.

"Air yang ditadah tu kami buat basuh, air minum semua beli air botol kat kedai.

"Bila Sada mai hantar air, kalau larat tu boleh la nak angkut dari jalan utama, sebab rumah saya masuk dalam sikit," katanya yang berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Seorang lagi penduduk yang juga pembantu tabika Kemas, Suriati Zainol, 38 berkata, setiap hari sudah menjadi rutinnya untuk mengangkut air dari masjid ke tabika.

"Mujur la tabika dengan masjid bersebelahan saja, tapi letih la juga setiap hari kena ulang alik angkut air.

"Kalau tak angkut, memang kami tak ada air nak guna untuk memasak, membasuh dan kegunaan pelajar kat sini.

"Dalam lima tahun kebelaknagan ni, memang cukup terasa sangat dengan masalah air ni.

"Kebun-kebun sayur dan landskap kat kawasan tabika habis rosak dan mati sebab tak dijaga dan disiram.

"Ni malam tadi air tak ada pula, selalu tiap malam ada juga, boleh la tadah sikit.

"Bila dah tak ada langsung, kerja-kerja rumah pun terganggu habis, masak pun tak hari ini," katanya kecewa.

Mandi sekali sehari

Bagi Razaini Ismail, 51, dia sudah lali dengan masalah yang melanda mereka malah terpaksa mencari idea untuk memudahkan dia mengangkut air yang disimpan naik ke bilik air rumahnya.

"Rumah saya ni tinggi, nak angkut pi mai pi mai tak larat pula. Tapi tak kan nak biar anak-anak mandi kat luar.

"Jadi saya terpaksa cari jalan la, guna paip getah sedut air dari dalam tong untuk hantar ke bilik air," katanya.

Menurutnya, dia bersama jirannya, Zaiton Akmam Yahaya, 45, sering meletakkan tong dan bekas di luar rumah dengan harapan Sada menghantar air ke rumah mereka.

" Kalau Sada mai hantar pun, kami kena catu juga, mandi seorang sekali saja sehari.

" Kalau tak buat macam tu, mana nak cukup, dalam sebuah rumah ni kami duduk sembilan orang. Itu pun saya terpaksa tadah air hujan untuk buat basuh baju," katanya.

Razaini juga kecewa apabila bil Sada setiap bulan mencecah RM50 walaupun bekalan air sering terganggu.

" Saya tak tahu la macam mana bil melambung sampai macam tu, sedangkan kami ni nak dapat air yang betul- betul keluar dari paip sangat susah," katanya.

Aduan tak juga selesai

Dalam pada itu, Pengerusi Komuniti Kampung Masjid, Mohamad Sofi Mohamad Saad,31 berkata, beliau berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Air ni keperluan asas.Tak ada eletrik tak apa lagi, tambah sekarang musim kenduri lagi susah.

"Saya memang duk jadi orang tengah antara Sada dan penduduk di sini. Dah banyak kali aduan saya buat kepada Sada.

"Tapi penduduk bila depa marah dan ada pula yang panas baran, saya la terkena tempias, sampai ada yang keluarkan kata-kata kesat, sedangkan saya dah jalankan tugas saya,selebihnya adalah dari Sada," katanya.

Katanya, selaku wakil penduduk di sini beliau sentiasa bersedia untuk berdialog demi mencari penyelesaian bersama dalam masalah ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Peduli Rakyat Dun Kota Siputeh, Othman Shafee yang juga penduduk di sini berkata,aduan kepada pihak atasan telah dibuat namun tiada tindakan sehingga ke hari ini.

"Saya pernah berbincang dengan salah seorang pegawai Sada, katanya peruntukan dah ada, tapi itulah sampai sekarang tak nampak penyelesaian pun.

"Kalau dah ada peruntukkan dan cadangan, kena la amik tindakan ,kesian penduduk kampung kat sini.

"Saya juga berharap pihak Sada dan exco berkaitan dapat turun ke kampung ini untuk tengok sndiri apa masalah yang kami hadapi hari-hari tanpa air.

" Zaman sekarang semua orang nak kemudahan air dari paip air, bukan lagi mengharap ihsan daripada lori Sada," katanya yang juga merupakan salah sorang ahli majlis daerah Kubang Pasu.

Sada sentiasa pantau situasi

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, masalah gangguan bekalan di kawasan berkenaan adalah disebabkan ia berada di penghujung sistem agihan bekalan air.

Katanya, situasi bekalan air di situ ada bertekanan rendah pada siang hari (bertekanan normal pada luar waktu puncak) dan hanya berlaku masalah gangguan bekalan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan seperti kebocoran dan gangguan operasi Loji Rawatan Air.

"Untuk maklumat, kawasan sekitar Sanglang tersebut menerima bekalan air terawat melalui Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang yang diagihkan melalui Tangki Imbangan Bukit Mengkuang.

"Sehingga kini, pihak Sada sentiasa memantau situasi bekalan air di kawasan sekitar dan akan membuat penghantaran bekalan air melalui lori tangki sekiranya mendapat permintaan dari pengguna.

"Penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi serta menstabilkan bekalan air di kawasan tersebut akan dijalankan dengan pembinaan projek menaiktaraf LRA Pelubang dari 227MLd kepada 454MLd.

"Peruntukan untuk projek ini telah diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam perbentangan bajet baru-baru ini.

"Ia dijangka dapat memberi penyelesaian kepada pengguna di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu," katanya