KUALA LUMPUR - Perkara 10(1)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, perlu dipinda sekiranya undang-undang berkaitan lompat parti mahu digubal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan.
"Jika Perlembangaan Persekutuan (Perkara 10(1)(C)) tak benarkan semua warganegara untuk membentuk persatuan, baru kita boleh gubal akta orang lompat parti,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, bagi jabatan berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas menteri itu, selain meminda Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaan akta anti lompat parti juga memerlukan sistem pilihan raya sedia ada, ditukar dan undang-undang berkaitan turut dipinda.
Menyentuh isu pendaftaran automatik bagi pengundi berusia 18 tahun, Takiyuddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang membuat persiapan melaksanakan perkara itu, selaras dengan pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan Parlimen sebelum ini.
Katanya, persiapan meliputi penyediaan pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan sistem dan infrastruktur, bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Sementara itu, mengenai urusan kajian semula persempadanan yang dibangkitkan Ahli Parlimen sebelum ini, Takiyuddin berkata, persempadanan semula telah selesai bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu pada tahun 2018, manakala Sarawak (2015) dan Sabah (2017).
"Dalam hal ini, lat (selang) tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah (2025) manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026,” katanya. - Bernama